Harry Winks tonggak Tottenham. FOTO Agensi
Harry Winks tonggak Tottenham. FOTO Agensi
AFP

LONDON: Harry Winks menegaskan Tottenham masih mempunyai peluang cerah merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika persiapan pasukan itu terarah kepada melayan kunjungan Leicester esok.

Pasukan Mauricio Pochettino itu ketinggalan lima mata di belakang pendahulu Liga, Manchester City dan kedua, Liverpool dalam carta liga setakat ini.

Begitupun, pemerhati bola sepak melihat pasukan di tempat ketiga itu sebagai pasukan bukan pilihan dalam perebutan liga, Spurs memenangi tiga perlawanan terakhir mereka untuk mengekori rapat City dan Liverpool.

Dan ketika, City memadam kedudukan selesa Liverpool yang mendahului liga pada satu ketika dengan tujuh mata. Besar kemungkinan berlaku beberapa perubahan dalam kedudukan pasukan terutamanya dalam minggu akhir liga.

Memenangi gelaran liga buat pertama kali sejak 1961 adalah mungkin pencapaian ajaib buat Tottenham yang tidak menandatangani sebarang pemain baru dalam pasukan untuk dua tempoh perpindahan pemain baru-baru ini.

Namun, pasukan Utara London itu akan berhadapan City dan Liverpool bagi kempen liga, malah Winks bersungguh-sungguh menyatakan persaingan membabitkan pasukannya belum dapat dinafikan.

“Kami kalah kepada Wolves dan orang ramai berkata kami sudah terkeluar dari saingan merebut kejuaraan liga dan ketika kami di kedudukan empat teratas dan menang menentang Newcastle, mereka kembali mengatakan sebaliknya,” kata Winks.

“Kami tidak kisah mengenai khabar angin, apa yang kami lakukan adalah melalui setiap perlawanan demi perlawanan dan beri perhatian pada lawan seterusnya. Jadi pada akhir musim kita dapat lihat pencapaian dan di mana gelaran itu diperolehi.

“Kami masih perlu berdepan dengan Man City dan Liverpool, masih ada dua perlawanan penting jika kami mahu memenangi kejuaraan liga. Buat masa ini kami gembira dengan kedudukan ini, kami beraksi sangat bagus dan itu perkara yang paling penting.”

Memainkan peranan besar di bahagian tengah, Winks menjadi kunci kepada gerakan pasukannya seterusnya mengisi kekosongan yang ditinggalkan Harry Kane dan Dele Alli yang mengalami kecederaan. Kane dan Alli dijangka kembali beraksi semula pada Mac ini menurut Pochettino.

Ia membuatkan tumpuan kepada Winks, begitu juga perancang tengah kreatif, Christian Eriksen dan Son Heung-min dalam usaha memastikan Tottenham berada pada landasan tepat memburu kejuaraan.

Winks pemain berusia 23 tahun itu mengakui musim membosankan buatnya apabila dia terpaksa bergelut dengan kecederaan lutut pada kempen awal musim.

“Ia sesuatu yang hebat, sejak permulaan musim, saya meletakkan beberapa sasaran serta impian untuk beraksi sebanyak mana perlawanan selain kekal cergas untuk musim ini dan ia berjalan lancar setakat ini,” katanya.

“Saya sudah bermain banyak perlawanan, di mana ini yang saya mahukan dan saya berharap tidak mengalami kecederaan. Ia adalah semua perkara yang saya mahukan sejak di awal musim lagi.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 12:31 PM