ZII Jia tumpas pada suku akhir kejohanan Masters Malaysia di Bukit Jalil, bulan lalu. - FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
ZII Jia tumpas pada suku akhir kejohanan Masters Malaysia di Bukit Jalil, bulan lalu. - FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ferzalfie Fauzi


LEE Zii Jia harus diasah bakatnya supaya lebih tajam seperti pisau.

Bekas pemain perseorangan lelaki negara, Ong Ewe Hock menyatakan sekalipun Zii Jia kini pemain nombor satu negara, dia masih lagi dalam proses pembelajaran.

“Dia harus meningkatkan lagi prestasi supaya menjadi pemain yang tergolong dalam kelompok 10 terbaik dunia. Sekarang dia masih lagi berada dalam kalangan 20 terbaik dunia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Ewe Hock yang pernah merangkul gelaran Terbuka Malaysia 1996 dan 2001, berharap Zii Jia terus bekerja keras dan paling penting mempersiapkan diri dari aspek kekuatan mental.

“Dia masih muda dan perlu sedar akan kepentingan kekuatan mental, tak boleh sekejap beraksi baik, selepas itu kurang baik. Dari segi taktikal juga harus dipertingkatkan dan setakat ini dia masih belum matang. Anda boleh nampak sendiri dari mata kasar.

“Permainannya harus terus digilap, seperti pisau jika anda tak asah memang tak akan tajam. Menjadi pemain perseorangan nombor satu negara harus memiliki pakej lengkap baik dari segi fizikal mahupun mental,” kata Ewe Hock.

Zii Jia kini menduduki ranking ke-28 dunia, satu anak tangga mengatasi Liew Daren, manakala Datuk Lee Chong Wei pula menghuni kedudukan ke-31.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 6:57 PM