PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Abu Samah Abd Wahab. FOTO Saifullizan Tamadi
PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Datuk Abu Samah Abd Wahab. FOTO Saifullizan Tamadi
Haika Khazi


KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan hanya tiga pasukan dari Malaysia akan menyertai Le Tour de Langkawi 2019 (LTdL 2019).

Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab, berkata tiga pasukan berkenaan ialah Team Sapura Cycling (TSC), Terengganu Cycling Team (TSG) dan skuad lebuh raya kebangsaan.

Abu Samah menjelaskan jumlah pasukan dari Malaysia berkurangan selepas Forca Amskins Racing (Forca) tidak memperbaharui pendaftaran selaku pasukan profesional dengan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) untuk musim 2019.

"Saya boleh sahkan setakat ini Malaysia hanya akan diwakili tiga pasukan iaitu TSC, TSG dan skuad lebuh raya kebangsaan kerana FAR tidak memperbaharu pendaftaran kelab berkenaan dengan UCI dan PKBM untuk mengharungi musim 2019.

"PKBM juga sedang mengenal pasti lapan pelumba tempatan termasuk dua simpanan dalam kalangan kelompok pelumba muda untuk menganggotai skuad kebangsaan.

"Kita yakin masih terdapat ramai bakat baharu yang boleh digilap PKBM biarpun ramai jaguh muda termasuk pemenang pingat Sukan Malaysia (SUKMA) sudah dipancing oleh pasukan seperti TSG dan TSC lebih awal," katanya.

Terdahulu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melantik syarikat pengurusan acara, Human Voyage (M) Sdn Bhd (Voyage) untuk menganjurkan siri jelajah basikal terbesar Asia dari 24 hingga 31 Mac depan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 7:27 PM