DR ABDULLAH (tengah) bersama para penaja di Dewan Sri Budiman UiTM, Shah Alam. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
DR ABDULLAH (tengah) bersama para penaja di Dewan Sri Budiman UiTM, Shah Alam. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
DR ABDULLAH Mohamad Said (tiga, kiri) yang juga Presiden UiTM FC memperkenalkan jersi pasukan bola sepak UiTM FC pada Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Pasukan UiTM FC Musim 2019. FOTO Bernama
DR ABDULLAH Mohamad Said (tiga, kiri) yang juga Presiden UiTM FC memperkenalkan jersi pasukan bola sepak UiTM FC pada Majlis Memperkenalkan Jersi dan Pemain Pasukan UiTM FC Musim 2019. FOTO Bernama
DR ABDULLAH (tiga kiri) bersama pemain tempatan dan import Robert Waly (kanan), Agele Benard (tiga dari kanan) melihat jersi baharu pada Majlis Memperkenalkan jersi dan pemain di Dewan Sri Budiman UiTM, Shah Alam. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria

Faliq Lajim

SHAH ALAM: Empat pemain import menjadi sandaran UiTM FC bagi memperkuatkan pasukan itu mengharungi saingan Liga Perdana yang dijadual berlangsung pada Jumaat ini.

Ketua jurulatihnya Ismail Zakaria berkata, empat import itu diyakini mampu memantapkan lagi benteng pasukan.

"Tiga import berkenaan adalah Adi Said dari Brunei, Robert Waly Lopez Mendy (Senegal) dan Agele Bernard Coulibally (Uganda) manakala seorang lagi pemain yang juga penyerang iaitu Zarko Korac dari Montenegro dijangka tiba pada Rabu ini.

"Kita berharap gabungan import serta pemain tempatan yang terdiri daripada mahasiswa ini berjaya meletakkan UiTM FC di kedudukan empat teratas Liga Perdana," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis memperkenalkan pemain dan jersi pasukan UiTM FC musim 2019 di Dewan Seri Budiman, UiTM Shah Alam, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP), Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Sukan, Kementerian Pendidikan, Tony Azman Hassan.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pasukan berkenaan menampilkan lebih 50 peratus muka baharu bagi memperkuatkan barisan pemain musim ini.

“Kebanyakan pemain kami adalah pelajar UiTM sendiri. Seramai 10 pemain musim lalu dikekalkan dalam skuad musim ini dan selebihnya 19 lagi adalah muka baharu termasuk pemain import," katanya.

Sementara itu, Abdullah berkata, tahun ini adalah tahun ketujuh UiTM FC bermain dalam kempen Liga Perdana dan pelbagai kejayaan sudah dicapai.

"Oleh itu, sasaran kita tahun ini sekurang-kurangnya berada pada kedudukan empat teratas dalam kempen Liga Perdana, pusingan akhir Piala FA dan memenangi Piala Fair Play.

"Bagi pasukan Piala Presiden pula, kita berharap mereka layak ke separuh akhir manakala bagi skuad Piala Belia sasaran adalah layak bermain pada pusingan kedua,"katanya.

Dalam perkembangan sama, pasukan UiTM bakal tampil lebih bergaya apabila sekali lagi mendapat tajaan jersi daripada pengeluar barangan sukan terkenal, Puma.

Jersi terbabit didatangkan dalam dua warna iaitu ungu untuk aksi di laman sendiri dan merah di tempat lawan.

UiTM FC akan memulakan kempen liga pada Jumaat ini menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 January 2019 @ 6:51 PM