Patrick tanduk gol ketiga tewaskan UiTM. FOTO NSTP
Patrick tanduk gol ketiga tewaskan UiTM. FOTO NSTP
Nazri Abu Bakar


MELAKA: Pemain import Melaka United (MU), Patrick Reichelt tidak perlu mengambil masa lama untuk membuktikan kehadirannya dalam pasukan Hang Tuah itu.

Walaupun baru kira-kira seminggu menyertai skuad kendalian Zainal Abidin Hassan, pemain skuad kebangsaan Filipina berkenaan sudah membuktikan pembeliannya berbaloi apabila menanduk masuk gol ketiga MU ketika menewaskan UITM FC 3-0 pada aksi persahabatan pramusim di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Dua gol lagi hasil sumbangan bekas bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim dan pemain import kelahiran Brazil, Anselmo Casagrande.

Menurut Reichelt, perlawanan berkenaan begitu menarik berikutan semua pemain serius menampilkan persembahan terbaik sepanjang permainan.

"Saya teruja kerana dapat beraksi pertama kali bersama pasukan dan tambah manis saya turut menyumbat gol.

“Malah keserasian saya bersama pemain lain makin meningkat walaupun baru menyertai pasukan,” katanya yang beraksi bersama Filipina di Piala Asia 2019.

Pemain tengah kelahiran Berlin, Jerman itu turut optimis MU mampu mencipta kejutan sekali gus menjadi pencabar hebat kepada pasukan lain.

Justeru, dia berharap mampu memanfaatkan pengalamannya beraksi di Jerman dan liga Thailand untuk membantu pasukan musim ini bermula menentang MIFA 2 Februari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 5:34 PM