PEMAIN remaja Chelsea, Callum Hudson-Odoi. FOTO AFP
PEMAIN remaja Chelsea, Callum Hudson-Odoi. FOTO AFP
AFP

DOHA: Bayern Munich yang menyasarkan pemain muda mengesahkan minat mendalam terhadap pemain remaja Inggeris, Callum Hudson-Odoi,18, walaupun terdapat laporan juara Jerman itu telah mencapai persetujuan dengan Chelsea mengenai yuran perpindahan pemain itu.

"Sudah tentu kami mahu menandatanganinya. Dia mempunyai kualiti sesuai dengan pasukan kami,” kata Pengarah Sukan Bayern, Hasan Salihamidzic ketika sesi latihan di Doha, hari ini.

"Dia sangat pantas dan mempunyai kawalan bola yang baik.”

Menurut Sky, Bayern dan Chelsea bersetuju dengan yuran 35 juta pound (RM186 juta) tetapi tidak pasti sama ada Hudson-Odoi akan berpindah ke Bundesliga pada jendela perpindahan sekarang yang tamat pada 31 Januari atau pada Julai depan.

Dilaporkan bidaan untuk mendapatkan Hudson-Odoi adalah yang keempat oleh Bayern.

Pemain itu hanya tampil satu aksi Liga Perdana musim ini.

Jika dia berpindah ke Munich, dia akan menjadi pemain remaja Inggeris ketiga beraksi di Bundesliga selain Jadon Sancho, 18, yang berpindah dari Manchester City ke Borussia Dortmund pada 2017 dan Riess Nelson, 19, yang dipinjam ke Hoffenheim dari Arsenal sehingga Julai ini.

Hudson-Odoi yang boleh beraksi sebagai penyerang atau sayap beraksi 79 minit ketika Chelsea tewas kepada Tottenham Hotspur dalam aksi separuh akhir Piala Liga Inggeris, kelmarin.

Dia tampil sekali dalam aksi Liga Perdana musim ini selepas dimasukkan sebagai pemain gantian ketika menewaskan Watford 2-1 pada 26 Disember.

Pemain B-19 Tahun England itu dijangka berdepan cabaran lebih getir musim depan selepas pemain sayap Amerika Syarikat, Christian Pulisic menyertai Chelsea dari Borussia Dortmund.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 8:52 PM