ZAQUAN bersama penyokong Kedah yang hadir menyaksikan sesi latihan pertama pasukan di SSAH, semalam.
ZAQUAN bersama penyokong Kedah yang hadir menyaksikan sesi latihan pertama pasukan di SSAH, semalam.
Izzali Ismail


ALOR SETAR: Penyerang baharu Kedah, Zaquan Adha Abd Radzak tidak menganggap dirinya sebagai pemain bintang, walaupun memiliki banyak pengalaman apatah lagi selaku kapten skuad Harimau Malaya.

Malah, sebelum turun menjalani latihan sulung petang semalam, Zaquan menghubungi Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak untuk mendapatkan nasihat serta panduan sebagai persedian awal menyertai pasukan.

“Dalam bola sepak, tidak ada sesiapa yang besar dalam pasukan dan apa yang lebih penting adalah kerjasama semua pemain dan itulah yang diharapkan oleh semua jurulatih.

“Sebagai pemain, kita harus bekerja sebagai satu keluarga dan harus kekalkan suasana harmoni berterusan,” katanya yang membantu skuad Harimau Malaya, kendalian Tan Cheng Hoe melangkah ke pentas akhir Piala AFF 2018.

Zaquan yang disambut meriah penyokong Kedah di pusat latihan di Stadium Sultan Abdul Halim (SSAH) Alor Setar semalam, cukup teruja pada hari pertama latihan dan menyifatkan ia sebagai petanda positif untuk pasukan.

“Saya ada berhubung dengan jurulatih. Alhamdulillah, beliau (Aidil Sharin) telah memberi sokongan walaupun pada ketika itu saya masih bersama skuad kebangsaan. Semuanya berjalan lancar.

“Saya akan memberi yang terbaik untuk Kedah pada musim ini dan saya mengharapkan sokongan padu penyokong. Apabila menyarung jersi Kedah, saya meraih semangat tambahan kerana ini negeri ini sebenarnya cukup dekat di hati saya.

“Kampung arwah abah di Kulim, manakala kampung isteri pula di Alor Setar dan ini menyuntik semangat tambahan untuk saya untuk beraksi dengan Kedah.”

Semalam, ketika skuad baharu Kedah memulakan sesi latihan pertama di SSAH, lebih 300 penyokong hadir pusat latihan itu dan tidak melepaskan peluang bertemu pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 11:26 AM