RICE (kiri) tandatangan kontrak baru hingga 2024 dengan pilihan lanjutan bagi tahun berikutnya.  -Foto AFP
RICE (kiri) tandatangan kontrak baru hingga 2024 dengan pilihan lanjutan bagi tahun berikutnya. -Foto AFP
AFP

LONDON: Bintang muda sedang meningkat, Declan Rice menandatangani kontrak jangka panjang bersama kelab Liga Perdana Inggeris, West Ham.

Pemain tengah berusia 19 tahun yang sudah tampil 51 kali bersama kelab timur London itu menandatangani kontrak baharu hingga 2024 - dengan pilihan lanjutan kontrak bagi tahun berikutnya.

Ia satu suntikan semangat buat Hammers, pasukan yang melonjak ke pertengahan carta liga selepas menang 2-1 di laman Southampton, awal pagi semalam ketika Rice menolak beberapa tawaran, awal musim ini.

“Mengikat Declan dengan kontrak jangka panjang sesuatu yang kami rancangkan dan saya, ahli lembaga, pengurus dan Declan sendiri amat gembira semuanya kini sudah selesai,” kata pengerusi bersama West Ham, David Sullivan.

Rice dalam pada itu gembira dan mahu terus komited bersama West Ham - kelab yang secara tradisinya dikenali sebagai medan pembangunan pemain muda.

“Saya amat gembira kerana kontrak selesai, menandatangani dan untuk terus komited dengan masa depan saya bersama kelab ini hingga 2024. Saya benar-benar gembira,” katanya.

“Tanpa ragu-ragu, perancangannya adalah untuk terus kekal di West Ham. Saya menerima sokongan penyokong, pemain serta pengurus (Manuel Pellegrini) dan kini, untuk melaksanakannya dan memberi komitmen kepada kelab sesuatu yang amat istimewa.

“Saya masih muda, jadi untuk menambah beberapa tahun lagi dalam kontrak saya dan membina karier di sini sesuatu yang terbaik buat saya ketika ini. Dengan sokongan pengurus, pemain dan staf, ia sesuatu yang tepat untuk dilakukan.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Disember 2018 @ 10:01 AM