PEMAIN Kelantan, Cristiano Marcolino Santos (kiri) dan Cassio Francisco (kanan) dikawal pemain pasukan PKNS FC ketika saingan Liga Super 2018 di Kota Bharu, Jun lalu. FOTO arkib NSTP
PEMAIN Kelantan, Cristiano Marcolino Santos (kiri) dan Cassio Francisco (kanan) dikawal pemain pasukan PKNS FC ketika saingan Liga Super 2018 di Kota Bharu, Jun lalu. FOTO arkib NSTP
Syafiq Aznan


KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil langkah proaktif apabila mengeluarkan kalendar pertandingan Liga Malaysia (Liga M) untuk dua musim bagi 2019 dan 2020.

Berbeza dengan sebelum ini apabila jadual pertandingan hanya dikeluarkan bagi tempoh setahun, badan pengendali liga itu menerusi kenyataan media hari ini, menjelaskan langkah pembaharuan itu diambil selepas mengambil kira maklum balas peminat.

Katanya, tindakan ini dibuat bagi memudahkan perancangan dan persediaan awal oleh pasukan yang bertanding dalam Liga M untuk jangka panjang.

"Selain persediaan perlawanan Liga M, pengedaran kalendar awal ini dapat membantu pasukan membuat persiapan untuk menyediakan dokumen pendaftaran, perancangan penggunaan stadium bagi jendela perpindahan pemain, aktiviti komersial dan promosi pasukan.

"Antara pembaharuan yang dibuat MFL bagi liga musim 2019 adalah perlawanan akan dilangsungkan pada hujung minggu bagi memudahkan penyokong memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.

"Kalendar ini juga sudah dimuktamadkan menerusi perbincangan bersama pengurusan pasukan kebangsaan bagi memberikan mereka masa mencukupi latihan bagi aksi Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)," kata MFL.

Dalam perkembangan sama, MFL mengesahkan mereka akan meneruskan langkah sama dengan mengumumkan kalendar pertandingan bagi musim 2021 pada penghujung 2019 bagi membolehkan pasukan membuat perancangan bagi setiap dua tahun akan datang.

"Pengedaran kalendar bagi jangka masa panjang ini dapat memudahkan penaja dan juga bakal penaja yang berpotensi tinggi untuk merancang lebih awal sekali gus meningkatkan nilai bagi kesemua pertandingan.

"Bagaimanapun, jadual perlawanan akan dikeluarkan dalam tempoh sebulan sebelum tarikh mula sepak mula liga kerana perancangan jadual adalah sangat mencabar lantaran terikat dengan pengesahan pendaftaran pasukan serta venue bagi setiap pasukan," katanya.

Berdasarkan kalendar pertandingan Liga M 2019, aksi Piala Sumbangsih akan berlangsung pada 2 Februari namun aksi Liga Super dan Liga Perdana akan membuka tirainya sehari lebih awal (1 Februari).

Aksi final Piala FA pula akan berlangsung pada 27 Julai manakala aksi pertama peringkat kumpulan Piala Malaysia dijangka bermula awal Ogos.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 5:36 PM