AARON Chia dan Wooi Yik Soh. FOTO arkib NSTP
AARON Chia dan Wooi Yik Soh. FOTO arkib NSTP
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sudah bersedia sekiranya mereka diminta menggalas cabaran sebagai pasangan utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Selasa lalu dilaporkan rakan sepasukan dan bekas pasangan nombor satu dunia, Goh V Shem-Tan Wee Kiong dijangka meninggalkan BAM, menyusuli tindakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

Ketika masih belum disahkan sama ada V Shem-Wee Kiong akan mengikut jejak langkah itu, Aaron-Wooi Yik sudah bersedia untuk memainkan peranan selaku pasangan utama BAM.

“Kami sudah bersedia pada bila-bila masa,” kata Aaron ketika dihubungi.

“Sudah tentu saya akui kualiti rakan sepelatih kami mungkin terganggu sedikit tapi kami tidak boleh mengawalnya.

“V Shem-Wee Kiong adalah pemain tahap tinggi dan mereka masih beregu nombor satu negara walaupun mereka meninggalkan pasukan. Itu saja sudah menjadi motivasi buat kami, kami mesti bersedia untuk memikul tanggungjawab,” kata pemain berusia 21 tahun yang kini berkedudukan ke-22 dunia bersama Wooi Yik.

Berita pemergian V Shem-Wee Kiong bukan satu kejutan selepas mereka menampilkan aksi buruk sejak dua tahun lalu.

Justeru juara Pusingan Akhir Siri Super Dunia 2016 itu diberikan amaran untuk bangkit menjelang April 2019 atau disingkirkan.

Bagaimanapun V Shem-Wee Kiong masih menjadi taruhan terbaik Malaysia untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan mereka boleh mencuba selaku pemain bebas dengan pusingan kelayakan akan bermula Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 6:27 PM