KLOPP mampu pimpin Liverpool dalam landasan yang betul. FOTO/AGENSI
KLOPP mampu pimpin Liverpool dalam landasan yang betul. FOTO/AGENSI
Reuters

LONDON: Liverpool mempunyai Juergen Klopp yang memiliki kemampuan untuk membawa semula pasukan itu ke ‘alam nyata’ jika mereka mula berada di awangan susulan permulaan tanpa kalah di Liga Perdana Inggeris, kata pemain tengah Georginio Wijnaldum.

Kelab dari Merseyside itu menghuni tangga teratas Liga Perdana dan menjadi satu-satunya kelab dalam kancah elit Inggeris masih belum kalah selepas penyandang juara, Manchester City dipalit kekalahan pertama musim ini kepada Chelsea, minggu lalu.

Benteng pertahanan Reds menampilkan persembahan terpuji setakat ini dan peningkatan semula jentera serangan meningkatkan semula harapan peminat yang berharap mereka dapat mengulangi skuad “Invincibles” Arsenal pada musim 2003-04 yang mengharungi kempen tanpa kalah.

“Saya tidak berfikir kami tidak boleh dikalahkan dan jika kami berfikir mengenainya, kami mempunyai pengurus yang akan membawa kami kembali ke alam nyata,” kata Wijnaldum.

“Kami sedar mempunyai banyak kerja perlu dilakukan untuk tidak kalah dalam perlawanan tapi lebih daripada itu adalah memenanginya. Kami tahu kami perlu memberikan persembahan yang baik setiap minggu atau meneruskan prestasi kami ketika ini.”

Liverpool akan berdepan Manchester United, Ahad ini dengan skuad kendalian Jose Mourinho yang menghuni tangga keenam liga mula mengejar pasukan di kedudukan teratas.

Justeru, Wijnaldum berkata, Liverpool tidak akan memandang rendah United sekalipun kelab itu bergelut musim ini.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar,” kata pemain dari Belanda itu. “Perkara boleh berlaku, semua orang boleh mengharungi musim yang buruk... musim lalu, dengan pemain yang sama, mereka menamatkan saingan di tangga kedua.

“Satu musim berjalan dengan baik, satu lagi musim sedikit bergelut. Ia tidak bermakna mereka pasukan yang teruk. Mereka memiliki pemain yang bagus, pengurus yang bagus, mereka tahu bagaimana menguruskan perlawanan dan memenangi perlawanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 8:15 PM