PENGURUS Napoli, Carlo Ancelotti. FOTO EPA
PENGURUS Napoli, Carlo Ancelotti. FOTO EPA
AFP

LIVERPOOL: Carlo Ancelotti percaya Liverpool sudah cukup bagus untuk menjuarai Liga Perdana namun pengurus Napoli itu yakin mampu menyingkirkan mereka di Liga Juara-Juara awal pagi nanti.

Pengendali kelahiran Itali itu, yang menjulang Liga Perdana bersama Chelsea pada tahun 2010, akan bertandang ke Anfield dengan menyedari satu mata sudah cukup untuk memastikan kemaraan ke pusingan kedua dan kemenangan membolehkan mereka bergelar juara Kumpulan C.

Liverpool perlu menang dengan keputusan 1-0 atau kelebihan dua gol sekiranya dibolosi untuk memastikan kemaraan mereka.

Napoli hadir ke Anfield dengan 12 perlawanan tanpa tewas dalam semua kejohanan dan menewaskan Liverpool 1-0 menerusi jaringan lewat Lorenzo Insigne di Stadium San Paolo pada Oktober.

Bagaimanapun Ancelotti waspada terhadap lawannya yang mengambil alih tampuk Liga Perdana daripada Manchester City menerusi kemenangan 4-0 di Bournemouth.

Dia percaya skuad kendalian Jurgen Klopp mempunyai kekuatan untuk mengekalkannya walaupun Pep Guardiola mempunyai banyak pilihan di Stadium Etihad.

"Liga Perdana sentiasa kompetitif. Liverpool mempunyai kemungkinan untuk menang. Mereka bermula dengan sangat baik, bermakna terdapat kemungkingkan mereka mampu melakukannya.

"Adalah mengujakan berada di sini, pemain sangat positif kerana semua mahu beraksi. Ia perlawanan penting. Jika kami bijak dalam menyerang dan bertahan, kami akan melepasinya dengan kami mempunyai sedikit kelebihan dalam kumpulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 11:07 AM