Dali sedia pikul tugas. FOTO HM Digital
Dali sedia pikul tugas. FOTO HM Digital
Aziman Rosdi


KUALA LUMPUR: Exco Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Md Dali Wahid percaya beliau bersedia memikul tugas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil badan induk itu meskipun mengakui ia satu cabaran untuk menduduki kerusi panas yang ditinggalkan Subkhiddin Salleh.

Dali yang dilantik pada mesyuarat Exco FAM kali keenam bagi sesi 2017-2021 Sabtu lalu berkata, walaupun sedar beliau terdedah dengan tekanan dan kritikan hebat penyokong namun akan cuba menangani apa-apa isu dengan baik.

“Saya berterima kasih kepada Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin) dan ahli Exco kerana memberi kepercayaan kepada saya memikul tugas ini. Bagi saya ini satu cabaran dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan baik.

“Saya tahu imej pengadil tempatan terjejas dengan isu final Piala Malaysia sebelum ini, jadi apa saja kelemahan kami akan cuba perbaiki. Saya tidak akan lari daripada sebarang permasalahan, saya juga tidak suka bergaduh dengan sesiapa.

“Ada ketika, ada kritikan itu betul dan perlu ambil kira untuk penambahbaikan. Saya tidak akan lari daripada kritikan dan masalah,” katanya ketika dihubungi Sukan NSTP hari ini.

Bekas pengadil Piala Dunia, Subkhiddin sebelum ini membuat keputusan mengejut dengan melepaskan semua jawatan dalam badan induk itu termasuk Exco berkuat kuasa serta-merta awal bulan ini.

Beliau dilaporkan membuat keputusan itu susulan kecaman hebat netizen terhadap ahli keluarganya berikutan pengadilan yang lemah oleh Suresh Jayaraman ketika aksi final Piala Malaysia 2018 antara Perak dan Terengganu FC, 27 Oktober lalu.

Dali yang turut memegang jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Status dan memiliki lesen kejurulatihan kelas A berkata, beliau perlu mengadakan perbincangan dengan pengurusan tertinggi FAM sebelum membuat perancangan.

“Kami akan lihat dulu pelan yang lama sama ada ia diteruskan atau tidak. Saya akan berbincang dengan Presiden, Jabatan Pengadil FAM dan juga bekas pengadil berpengalaman untuk mendapatkan maklum balas mengenai rancangan dan program yang perlu dilakukan.

“Tapi saya melihat kepada aspek pendidikan kepada pengadil dalam meningkatkan kualiti mereka. Sudah lama pengadil tempatan tidak pergi ke Piala Dunia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 4:23 PM