Alex mahu skuad negara buktikan penyudah lebih baik. FOTO DANIAL SAAD
Alex mahu skuad negara buktikan penyudah lebih baik. FOTO DANIAL SAAD
Fabian Peter


KUALA LUMPUR: Selepas gagal menyerlah pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu dan Sukan Asia Jakarta-Palembang tahun ini, skuad bowling lelaki negara perlu membuktikan kembali kehebatan mereka.

Lantas mereka mahu melakukannya pada Kejohanan Lelaki Dunia di Hong Kong bermula esok dengan acara individu.

Dengan gabungan pemain muda dan senior, pasukan enam pemain itu turut berharap menamatkan penantian 39 tahun negara meraih pingat emas, selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 1979 di Manila.

“Ia amat mengecewakan kerana kami (berpasukan) hampir memenangi pingat pada Sukan SEA tapi penyudah kami tidak bagus.

“Menerusi persiapan rapi kali ini, kami berharap untuk bertindak cemerlang. Kejohanan dunia amat berbeza kerana ada enam kondisi lorong berbeza dan kami tidak tahu yang mana satu mereka gunakan,” kata Alex Liew, pemain tertua dalam skuad pada usia 42 tahun dan juga pemain terakhir lelaki negara memenangi pingat di Munich pada 2010.

“Secara individu, setiap orang dalam skuad ini adalah pemain yang mantap, kami hanya perlu beraksi baik bersama.”

Mengenai pemain berusia 19 tahun, Tun Hakim Tun Hasnul Azam yang berada dalam skuad itu, Alex berkata: “Dia pemain muda berbakat dan bagi seseorang yang mempunyai pengalaman beraksi pada kejohanan remaja dunia, dia pasti tidak berdepan masalah.

“Sebagai rakan senior, kami patut memberikannya galakan.”

Sementara itu, Tun Hakim, pemenang acara perseorangan Kejohanan Remaja Asia 2017, bersedia untuk tampil bergaya pada pertandingan peringkat senior.

“Saya sudah biasa bermain dalam kancah antarabangsa. Saya amat berharap mampu menyumbang dalam acara berpasukan.

“Saya bekerja keras dalam latihan dan banyak belajar daripada pemain senior,” kata Tun Hakim, yang menempah tiket dalam pasukan itu selepas menduduki tangga keenam pada pertandingan kelayakan awal bulan ini.

Pemain lain dalam skuad itu adalah pemenang pingat emas Sukan Asia, Rafiq Ismail, Timmy Tan, Adrian Ang dan juara Piala Dunia AMF 2012, Syafiq Ridhwan Malek.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 November 2018 @ 8:41 PM