PEP GUARDIOLA
PEP GUARDIOLA
AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan juara Inggeris itu bukan sekadar memiliki duit yang banyak, selepas kelab itu dipalit beberapa siri tuduhan cubaan memintas peraturan Kewangan Adil (FFP) UEFA.

Guardiola menjauhkan dirinya daripada sebarang tuduhan salah laku di City dan berkata beliau tidak terbabit dengan perjanjian perniagaan bersama kelab berkenaan.

“Saya cukup jujur, saya tidak tahu apa yang berlaku kerana saya adalah pengurus. Saya fokus terhadap apa yang berlaku di atas padang, di bilik persalinan,” kata Guardiola. “Dari sudut perniagaan dan bagaimana mereka menangani situasi seperti itu, saya langsung tidak tahu.

“Tetapi saya adalah sebahagian daripada kelab, saya menyokong penuh kelab dan kami mahu melakukan apa yang kami perlu lakukan dari sudut peraturan.

Peraturan FFP diwujudkan bagi mengekang kelab-kelab di Eropah daripada dibebani hutang yang besar dan menggariskan had terhadap berapa banyak kerugian dicatat sepanjang tempoh yang ditetapkan.

City didenda 60 juta euro (RM285.25 juta) oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) pada 2014 kerana melanggar peraturan berkenaan tetapi kedua-dua pihak mencapai persetujuan di mana kelab itu memperoleh kembali 40 juta euro (RM190.17 juta) jika mereka bersetuju dengan syarat penyelesaian.

SHEIKH MANSOUR
SHEIKH MANSOUR

Dalam pendedahan terbaharu oleh Football Leaks, majalah Der Spiegel mendakwa City menyorokkan kerugian mereka dalam laporan bajet untuk memenuhi peraturan FFP dengan menggunakan suntikan dana daripada penaja dari Abu Dhabi.

Pada Ogos lalu, City meraikan ulang tahun ke-10 sejak diambil alih jutawan, Sheikh Mansour, yang juga ahli keluarga Diraja Abu Dhabi yang melaburkan bilion euro bagi pembelian pemain dan infrastruktur bagi mengubah kelab itu menjadi juara.

“Jika orang berkata ia hanya mengenai wang, kami menerimanya tetapi sudut pandang itu jelas salah,” kata Guardiola. “Kami banyak berusaha dari sudut yang baik dan kerana itu saya sentiasa mempertahannya, terutama pemain-pemain saya  dan apa yang kami lakukan.”

Begitupun, Guardiola dikatakan turut terpikat untuk ke City berikutan sumber kewangan tidak terhad kelab itu selepas mengharungi kejayaan yang hebat di Barcelona dan Bayern Munich.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 1:04 AM