Sukanteam

KUALA LUMPUR: Tindakan ratu terjun negara, Pandelela Rinong mempamerkan ‘terjunan’ luar biasa di Pusat Akuatik di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil mendapat perhatian netizen.

Menerusi posting di Instagram miliknya, dia melakukan terjunan dengan berpakaian lengkap jubah konvekesyen selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Sukan dengan Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) 2018 berlangsung pada Selasa lalu.

Rakaman selama 17 saat itu ditonton sebanyak 272,226 kali sejak disiarkan 23 jam yang lalu selain mendapat ratusan komen yang kebanyakannya mengucapkan tahniah kepada penerjun kelahiran Sarawak itu.

Antara yang memberikan komen adalah pelakon, Fizo Omar (Wow..so cool) dan aktor serba-boleh, Harith Iskandar (Hahahahahaha that's brilliant!).

Pemenang perak Olimpik Rio itu dengan bersahaja terjun ke kolam seperti acara 10 meter platform, yang dilihat sebagai simbolik meraikan kejayaannya menamatkan pengajian.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua yang menamatkan pengajian tahun ini. Saya tahu ia mengambil masa bertahun-tahun yang penuh dengan kerja keras dan terpaksa belajar sehingga lewat malam.

"Tidak dilupakan apabila anda menghadapi kesukaran namun perlu tenang dan kuat untuk mencapai kejayaan. Saya tahu anda gembira kerana akhirnya dapat memakainya.

"Adakah anda menyukai jubah konvokesyen? Saya menyukainya terutamanya warna dan coraknya. Tahniah kepada UM. Saya sangat gembira dan berpeluang membeli serta menggantungnya di rumah. Siapa tahu ia mungkin memberikan rangsangan kepada saya untuk menyambung pelajaran selepas Tokyo 2020," menurutnya dalam posting terbaru di Instagram.

Selepas lima tahun membahagikan masa sebagai seorang atlet serta penuntut universiti, Pandelela Rinong Pamg akhirnya menarik nafas lega kerana kini boleh memberi tumpuan sepenuhnya kepada karier selaku penerjun negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Oktober 2018 @ 7:50 PM
Pandelela terjun bersama jubah sebagai simbolik. FOTO IG Pandelela
Pandelela terjun bersama jubah sebagai simbolik. FOTO IG Pandelela