HAFIZUL Hakim meraikan kemenangan selepas menewaskan Terengganu dalam penentuan sepakan penalti pada final Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam, semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir
HAFIZUL Hakim meraikan kemenangan selepas menewaskan Terengganu dalam penentuan sepakan penalti pada final Piala Malaysia 2018 di Stadium Shah Alam, semalam. FOTO Luqman Hakim Zubir
Syafiq Aznan


PENJAGA gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy nyaris menyebabkan pasukannya ‘terlepas’ Piala Malaysia selepas melakukan kesilapan mudah apabila gagal membuat keputusan dengan cepat pada aksi final Piala Malaysia, malam tadi.

Katanya, dia lambat untuk membuat keputusan ketika cuba mendapatkan bola yang menyaksikannya sekadar ‘menendang angin’ sekali gus membolehkan Tchetche Kipre menghadiahkan gol kedua buat Terengganu FC.

“Sebenarnya saya mengambil masa terlalu lama untuk menyesuaikan diri dalam perlawanan kerana rasa gemuruh memandangkan Piala Malaysia ini adalah pentas terbesar buat saya.

“Punca kesilapan itu disebabkan saya lambat membuat keputusan sama ada mahu menangkap atau menyepak bola itu. Saya lambat membaca pergerakan bola.

“Mujurlah rakan sepasukan sentiasa memberi semangat dan motivasi. Saya cuba kembali dalam permainan pada babak kedua kerana saya tahu rakan sepasukan memerlukan saya.

“Jika saya terus hanyut dengan kesilapan itu mungkin keadaan menjadi semakin parah. Saya hanya banyakkan berdoa dan minta kekuatan daripada Allah,” katanya.

Namun, penjaga gol kebangsaan itu menebus kesilapannya apabila menjadi wira buat The Bos Gaurus selepas menyelamatkan dua sepakan penalti untuk membantu pasukannya menjulang kejuaraan Piala Malaysia buat kali kelapan.

“Saya tidak jangka dapat menyelamatkan dua penalti. Mungkin itu rezeki saya kerana sebelum ini saya melakukan satu kesilapan yang hampir menyebabkan kekalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 7:42 PM