CRISTIANO RONALDO
CRISTIANO RONALDO
AFP

MANCHESTER: Cristiano Ronaldo sekali lagi meraih kemenangan pada kunjungan kali kedua ke bekas kelab lamanya di Old Trafford namun kali ini tidak menjaringkan gol dengan Juventus menewaskan Manchester United 1-0 dalam aksi Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Malah Ronaldo memainkan peranan penting untuk membantu jaringan Paulo Dybala pada minit ke-17 sekali gus membenarkan juara Itali itu mendahului dengan kelebihan lima mata ke atas United di puncak Kumpulan H.

Anak buah Jose Mourinho bagaimanapun masih berada di tangga kedua carta apabila Valencia terikat 1-1 di laman Young Boys dan mereka masih mempunyai kelebihan dua mata daripada pasukan dari Sepanyol itu.

"Juventus memiliki tahap kualiti yang berbeza, jujur saya katakan. Stabiliti dan pengalaman mereka berbeza,” akur Mourinho.

"Saya tiada komen dengan pemain saya dan tetap positif dengan kesungguhan mereka.”

Namun kekalahan keempat pada musim ini pastinya memberi kesan kepada spekulasi terhadap masa depan Mourinho.

Penjaga gol David de Gea beraksi cemerlang pada malam itu dengan menafikan beberapa percubaan.

Ronaldo menerima sambutan wira ketika kunjungan pertamanya ke Old Trafford sebelum ini bersama Real Madrid pada 2013 selepas menjaringkan 118 gol untuk United dalam enam musim dari 2003 hingga 2009.

Dalam tempoh itu, dia membantu Red Devils menjuarai tiga gelaran Liga Perdana Inggeris dan gelaran Liga Juara-Juara yang pertama daripada lima dimilikinya.

Pemain Portugis itu juga dibelenggu tuduhan rogol di Amerika Syarikat pada penyertaan awalnya di Juventus pada awal musim panas lalu.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu menafikan tuduhan dan menerima sokongan daripada kelab baharunya yang membayar 112 juta euro (RM534.87 juta) untuk menandatangani pemain berusia 33 tahun itu, Julai lalu.

Dan atmosfera sambutan yang diterimanya kali ini di United jelas berbeza dan hanya menerima sorakan kecil ketika namanya diumumkan dalam senarai barisan pemain Juventus.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 7:22 AM