Adam tempat ke-19 dan SuperKIP ke-23 pada GP Jepun. FOTO FB/IG
Adam tempat ke-19 dan SuperKIP ke-23 pada GP Jepun. FOTO FB/IG
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Adam Norrodin menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Jepun di tempat ke-19 di Sirkit Twin Ring Motegi, hari ini.

Pelumba PETRONAS Sprinta Racing itu menamatkan 20 pusingan perlumbaan yang dimenangi Marco Bezzecchi dari pasukan Redox PruestelGP dengan catatan 39 minit 51.357 saat.

Keputusan diraih Adam itu juga mengakhiri rentak penamatnya di dalam kelompok pungutan mata berturut-turut sejak tiga pusingan sebelum ini yang bermula di GP San Marino, awal September lalu.

Dengan keputusan berkenaan Adam kini kekal mengumpul 37 mata untuk berada di tangga ke-21 keseluruhan tatkala saingan musim ini hanya berbaki tiga pusingan saja lagi.

“Minggu ini amat sukar buat saya,” kata Adam. “Saya terbabas pada sesi latihan pertama dan bergelut untuk mencari keyakinan diri dan rentak.

“Pada sesi kelayakan, kami menggunakan tayar jenis lembut, tetapi saya masih tidak mampu mencatat masa yang baik. Pada hari perlumbaan, saya mampu meningkatkan catatan masa sepusingan tetapi ia tidak cukup untuk kekal berada dengan kelompok depan.

“Sekarang, saya perlu mencari penyelesaian, apakah yang perlu dilakukan untuk lebih baik di Philip Island nanti.”

Sementara itu, rakan sepasukan Adam, Ayumu Sasaki beraksi cemerlang di hadapan penyokong sendiri apabila menamatkan saingan di tempat kesembilan.

Sasaki yang kekal bersama pasukan musim depan meraih tujuh mata berharga untuk menjadikan jumlah kutipan mata keseluruhannya ketika ini kepada 39 mata.

Berada di pentas podium bersama Bezzecchi adalah rakan senegaranya dari Itali, Lorenzo Dalla Porta yang mencatat masa kedua terpantas, 39'35.694s. Tempat ketiga dimenangi pelumba Red Bull KTM Ajo, Darryn Binder.

Dalam saingan Moto2, seorang pelumba negara Khairul Idham Pawi yang bersama pasukan IDEMITSU Honda Team Asia melengkapkan 22 pusingan perlumbaan di tempat ke-23 dengan catatan 41'42.2152s.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Oktober 2018 @ 5:45 PM