CRISTIANO RONALDO
CRISTIANO RONALDO
AFP

MILAN: Pengarah sukan Juventus, Fabio Paratici berkata semalam bukan mudah menggantikan pemain dengan keupayaan seperti Cristiano Ronaldo ketika dia juga menolak dakwaan kembalinya pemain Manchester United yang juga pemenang Piala Dunia bersama Perancis, Paul Pogba ke Itali.

Ronaldo, 33, menyertai Juventus dari Real Madrid musim panas lalu dengan nilai 100 juta euro (RM478.37 juta).

Kelab Sepanyol itu tewas tiga dan seri sekali dalam empat perlawanan terakhir dan kini berkedudukan keempat La Liga.

“Ronaldo mungkin pemain terbaik dalam sejarah bola sepak setakat ini, jadi bukan mudah untuk menggantikannya,” kata Paratici kepada wartawan pada majlis Manlio Scopigno dekat Rieti di tengah Itali selepas menerima anugerah “pengurus tahunan terbaik”.

Paratici mendedahkan bahawa pemenang lima kali Ballon d’Or itu memang berminat menyertai Juventus. 

“Kami sebenarnya berbincang mengenainya, dan kami terus merasakan dia memang mahu menyertai kami, yang pastinya satu kelebihan besar,” katanya.

“Real Madrid ada perjanjian dengannya, pemilik mula memberi persetujuan dan perbincangan bermula.”

Paratici menegaskan sokongan juga diberikan Juventus kepada bintang Portugal itu yang kini berdepan dakwaan rogol.

“Cristiano ialah seorang yang mudah dan sangat profesional, dia mendapat semua sokongan kami,” kata Paratici.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 7:23 AM