JUERGEN KLOPP
JUERGEN KLOPP
Reuters

LIVERPOOL, England: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp menyifatkan kejohanan baharu, Liga Negara-Negara Eropah sebagai ‘tidak masuk akal’ apabila skuad bimbingannya bakal mengharungi tempoh rehat antarabangsa selepas seri dengan Manchester City, semalam.

Klopp dan rakan sejawatan di City, Pep Guardiola berpuas hati dengan aksi penuh taktikal dan berkesudahan dengan keputusan 0-0 di Anfield, namun pengendali dari Jerman ini kecewa apabila hilang ramai pemain kerana menyertai tugasan antarabangsa.

Liga Negara-Negara Eropah diperkenalkan oleh UEFA pada tahun ini untuk menggantikan aksi persahabatan antarabangsa dengan menggunakan format kumpulan kecil.

“Kini, pemain tidak bersama pasukan, mereka menyertai kejohanan yang paling tidak masuk akal di dunia,” kata Klopp, yang mahu pihak bertanggungjawab supaya menilai isu pemain beraksi terlalu banyak perlawanan.

Beliau menegaskan, pemain tengah England, Jordan Henderson hanya mempunyai rehat kurang dua minggu selepas aksi di Piala Dunia Russia.

Namun, Klopp gembira selepas pasukannya berkongsi satu mata berdepan juara bertahan, City yang menyaksikan mereka terikat 20 mata bersama Chelsea, diikuti Arsenal dan Tottenham Hotspur di tangga keempat dan kelima.

“Arsenal dua mata di belakang dan mereka menang enam perlawanan. Cukup jelas, mereka berada dalam keadaan terbaik,” kata Klopp.

“Jika sesiapa bertanyakan adakah cukup dengan 20 mata selepas lapan perlawanan, saya akan katakan ya, kerana dengan senarai lawan yang ditentang, saya sepatutnya perlu membayar dengan harga terlalu mahal untuk mendapatkan mata sebanyak ini.

“Saya sangat gembira dengan apa yang dilakukan pemain. Kami bertahan dengan baik. Kami banyak kali berdepan City dan mereka memang bagus. Perlawanan ini memang sukar dan kedua-dua pasukan saling menghormati satu sama lain,”

Guardiola pula memilih pendekatan berbeza dengan memperlahankan tempo permainan untuk mengekang gerakan serangan Liverpool.

“Jika ia permainan terbuka di Anfield, anda tidak akan mampu meraih peluang walaupun satu peratus,” kata Guardiola

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 11:27 AM