Hafizh pada sesi kelayakan. FOTO AFP
Hafizh pada sesi kelayakan. FOTO AFP
Sukhairi Thani


KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah akan bermula dari petak ke-18 bagi perlumbaan sulung Grand Prix Thailand di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, esok.

Pelumba tunggal negara dalam kelas MotoGP itu mencatat masa sepusingan 1 minit 31.389 saat pada sesi kelayakan hari ini ketika Marc Marquez yang juga pendahulu keseluruhan kelas perdana, menyambar petak pertama perlumbaan.

“Saya dapat memperbaiki catatan masa yang dilakukan ketika ujian musim sejuk lalu, tapi ia masih belum mencukupi hari ini.

“Kami akan terus berusaha gigih dan kami berada di landasan yang positif, saya hanya perlu berusaha dari semasa ke semasa, apatah lagi ia bukan mudah dalam kelas ini.

“Jadi saya akan terus berusaha dan bekerja dengan lebih keras selain berharap kami dapat melakukan sesuatu pada perlumbaan esok,” kata pelumba Monster Yamaha Tech3 itu.

Kali terakhir Hafizh meraih penamat dalam kelompok pungutan mata adalah di GP Republik Czech, Ogos lalu dengan meraih dua mata apabila melintasi garisan penamat di tempat ke-14.

Hafizh ketika ini berada di tangga ke-18 dengan 24 mata dalam senarai pelumba MotoGP selepas 14 pusingan perlumbaan bagi musim 2018.

Bagaimanapun Hafizh yang juga dikenali sebagai ‘Pescao’ ketinggalan tujuh mata dalam senarai muka baharu bagi kelas itu di belakang pendahulu Franco Morbidelli dari Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 7:14 PM