PEMAIN JDT meraikan jaringan Safawi Rashid (dua dari kiri) ketika bertemu Pahang dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
PEMAIN JDT meraikan jaringan Safawi Rashid (dua dari kiri) ketika bertemu Pahang dalam perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Rizar Mohd Noor


JOHOR BAHRU: Safawi Rasid muncul wira Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila meledak dua gol untuk menewaskan Pahang 2-0 pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Selatan semakin hampir untuk mempertahankan kejuaraan piala berprestij itu selepas mara menerusi agregat 3-1 dan akan berdepan Terengganu pada aksi separuh akhir.

JDT merobek semangat skuad Tok Gajah seawal minit pertama menerusi gerakan menarik dimulakan Fernando Elizari yang bertindak mengumpan bola kepada Ahmad Hazwan Bakri yang kemudian menyilang umpanan untuk Safawi.

Safawi yang tidak dikawal mudah melakukan sepakan lencong tepat ke penjuru kanan gawang yang gagal diselamatkan penjaga gol pelawat, Mohd Helmi Eliza Elias.

Ahmad Hazwan yang menjadi perancang gol pertama hampir menambah derita skuad Tok Gajah pada minit kesembilan namun dia yang menerima umpanan Safawi sekadar menggegar palang ketika Helmi Eliza sudah tertewas.

Pelawat yang ketinggalan cuba bangkit dengan mengatur gerakan namun keampuhan benteng tuan rumah yang diterajui Marcos Antonio dan Aidil Zafuan Abd Radzak berjaya menghalang gerakan berbahaya anak didik Dollah Salleh.

Bersambung babak kedua, pelawat makin garang untuk memburu gol penyamaan memaksa benteng tuan rumah bertungkus lumus menghalang kelicikan Nor Shahrul Idlan Talaha yang sentiasa cuba menyusup masuk ke dalam kotak penalti.

Tuan rumah yang sedar gol tunggal itu masih belum mampu menyelamatkan mereka hampir menambah jaringan pada minit ke-56 namun bola rembatan deras Gonzalo Cabrera ketika berada di dalam kotak penalti hanya sipi dari gawang gol.

Safawi kemudian membuktikan dia berada kelas tersendiri apabila menjaringkan gol kedua peribadi pada minit ke-73 selepas pantas menyambar bola umpanan Natxo Insa sebelum memperdaya Helmi Eliza.

Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan kemenangan itu turut menebus kehampaan JDT ketika tewas 0-3 kepada Pahang dalam aksi suku akhir kedua Piala FA pada 20 April lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 11:46 PM