HARVEY ELLIOTT
HARVEY ELLIOTT

LONDON: Harvey Elliott muncul pemain termuda Fulham ketika mereka menewaskan Millwall pada pusingan ketiga Piala Liga Inggeris, awal pagi tadi dengan pengurus Slavisa Jokanovic mendedahkan pemain berusia 15 tahun itu menduduki peperiksaan di sekolah beberapa jam sebelum turun beraksi.

Pemain tengah skuad B-15 England itu tampil sebagai pemain gantian pada minit ke-81 ketika Cottagers mendahului 3-1.

“Dia menggerakkan bola dengan baik dan mempamerkan kepantasan. Kami percaya masa depannya cerah,” kata Jokanovic.

“Dia perlu berada di sekolah (pada pagi Rabu). Dia menduduki peperiksaan (awal semalam). Dia tidak tahu (sama ada dia bermain), saya tidak mahu membebankannya. Saya memberinya peluang untuk mencuba kebolehannya di peringkat ini.

“Saya tidak tahu sama ada saya menggunakan perkataan yang salah dalam bahasa Inggeris tapi dia berlagak dan positif. Pemain ini memperagakan personalitinya, seperti dia menyatakan ‘saya mahu menunjukkan kepada anda saya seorang pemain yang amat bagus’.”

Pemain Fulham, Joe Bryan membuka tirai jaringan dengan rembatan leret di The Den. Pemain tengah AS, Luca de la Torre menggandakan kedudukan sebelum tandukan Tom Elliott memberikan harapan buat tuan rumah. Namun rembatan jarak jauh Cyrus Christie melengkapkan kemenangan Fulham sebelum Elliott, yang berusia 15 tahun dan 174 hari, masuk sebagai pemain gantian.

Elliott, yang masih terlalu muda untuk menandatangani kontrak profesional, berlatih bersama Fulham semasa mereka berkunjung ke Sepanyol ketika rehat antarabangsa baru-baru ini. Dia sudah dikaitkan dengan Barcelona, Chelsea, Borussia Dortmund dan Manchester City. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 12:23 PM