MAURICIO POCHETTINO
MAURICIO POCHETTINO
AFP

BRIGHTON: Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino memuji kekuatan mental pemainnya apabila mereka meraih kemenangan yang sangat diperlukan selepas membenam Brighton 2-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.

Spurs begitu dahagakan kemenangan dan kejayaan dalam perlawanan keenam Liga Perdana itu berjaya mengelak mereka daripada kekalahan ketiga berturut-turut dalam semua kejohanan. 

Harry Kane menamatkan kemarau gol dalam lima perlawanan selepas meledak penalti pada minit ke-42 dan Erik Lamela menggandakan jaringan di babak kedua (minit ke-76) sebelum  Anthony Knockaert merapatkan jurang gol untuk Brighton pada penghujung perlawanan (minit ke-93).

“Pemain sudah banyak menderita dan kecewa. Tekanan terlalu tinggi, mereka mahu menghadiahkan keputusan yang baik untuk peminat, untuk diri sendiri dan untuk kami (barisan kejurulatihan),” kata Pochettino, selepas mengalami tiga kekalahan awal sejak mengambil alih tugas pada 2014. 

“Saya mahu melihat semangat yang ditunjukkan pemain pada kali ini akan diteruskan dalam perlawanan lain.  

“Saya sangat gembira dengan sikap dan semangat mereka. Barulah kami sedar sebenarya kami memiliki kualiti yang baik, pemain yang hebat dan kami boleh bermain bola sepak yang menakjubkan. 

Kejayaan itu melonjakkan kedudukan Spurs ke tangga kelima carta Liga Perdana dengan ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Liverpool.

Sama seperti rakan sepasukan yang lain, kapten England, Kane juga mengharapkan dia mampu meneruskan sentuhan penyudah berbisa selepas memenangi anugerah Kasut Emas di Piala Dunia Russia. 

Jaringan awal pagi tadi menyaksikan dia meledak gol ketiga pada musim ini.

“Perlawanan hari ini lebih kepada pertarungan mental, mencari rentak di padang, berdepan tekanan yang tinggi dan saya rasa, kami berjaya melakukannya dengan cukup baik,” kata Kane.

“Kami patut meletakkan isu itu di belakang dan menang 3-0 atau 4-0, namun ia cukup bagus untuk meraih kemenangan penting ini.”

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 September 2018 @ 7:44 AM