JOHN TERRY
JOHN TERRY

LONDON: Bekas kapten England, John Terry menolak tawaran beraksi bersama Spartak Moscow atas sebab keluarga, menurut pemain pertahanan berusia 37 tahun itu.

Terry kini ejen bebas selepas meninggalkan kelab Championship Aston Villa apabila kontraknya tamat penghujung musim lalu.

Media British melaporkan Terry menjalani ujian perubatan sebelum menandatangani kontrak dua tahun ditawarkan kelab Russia itu.

“Selepas difikirkan dengan mendalam, saya mengambil keputusan untuk menolak kontrak ditawarkan Spartak Moscow,” kata Terry dalam Instagram.

“Saya berterima kasih kepada Spartak dan berharap kelab dan penyokongnya meraih kejayaan cemerlang musim ini.”

“Mereka adalah kelab yang bercita-cita tinggi dan saya kagum dengan tahap profesionalisma mereka tetapi selepas berbincang dengan keluarga, kami berasakan ini bukannya masa yang sesuai untuk pindah ke sana.”

Pemain pertahanan tengah itu beraksi dalam 36 perlawanan bersama Villa dalam semua pertandingan musim lalu dan menjadi kapten dalam aksi playoff Championship tetapi tewas kepada Fulham.

Dia melakukan 700 penampilan bersama Chelsea, menang lima kejuaraan liga, lima Piala FA dan menjulang trofi Liga Juara-Juara 2012. - REUTERS

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 7:58 AM