Klopp. FOTO Reuters
Klopp. FOTO Reuters

LIVERPOOL: Jurgen Klopp menyaksikan sesi latihan penuh Liverpool sedikit terencat menjelang pertembungan sukar di Stadium Wembley, Sabtu ini apabila bintang utama mereka masih bersama skuad kebangsaan masing-masing.

Lain pula kisahnya di kem Tottenham Hotspur - apabila tonggak utama mereka, Harry Kane direhatkan daripada skuad England menjelang perlawanan persahabatan menentang Switzerland, Selasa ini.

Manakala Dele Alli pula dikeluarkan daripada senarai skuad kebangsaan selepas mengalami kecederaan ringan pada otot, tetapi dijangka mampu pulih sepenuhnya untuk menanti kunjungan Liverpool.

Bahkan, pengurus Spurs, Mauricio Pochettino juga menjangkakan Son Heung-min akan kembali bersama pasukan selepas cemerlang membantu Korea Selatan muncul juara di temasya Sukan Asia 2018 di Indonesia.

Bagaimanapun, pengendali Liverpool, Klopp tetap merencana strategi tanpa tonggak selepas hanya beberapa pemain utama - Joel Matip, Alberto Moreno dan Nathaniel Clyne yang kekal menjalani latihan di Melwood.

Menjelang pertembungan penting dalam saingan Liga Perdana Inggeris, Sabtu ini, kedua-dua pengendali itu mengakui betapa pentingnya pemain utama mendapat rehat yang cukup selepas menempuh dua minggu untuk tugasan antarabangsa.

Mungkin juga pertembungan dua pasukan utama Liga Perdana itu bakal dibarisi ramai pemain yang tidak dipanggil untuk tugasan bersama negara masing-masing.

Ketika tempoh rehat antarabangsa yang menyaksikan penganjuran julung kalinya Liga Negara-Negara Eropah, Liverpool kekal di puncak liga selepas menang semua empat perlawanan liga setakat ini.

Mohamed Salah cemerlang bersama Mesir dengan meledak dua gol, mencipta dua bantuan gol dan terlepas dua penalti ketika mereka membelasah Niger 6-0 dalam kelayakan Piala Afrika 2019.

Bagaimanapun, kapten Liverpool, Jordan Henderson sedikit bergelut untuk bersaing dengan pemain Sepanyol yang lebih mantap mengawal posisi tengah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 3:52 PM