PELUMBA Moto2 Itali, Romano Fenati. FOTO Agensi
PELUMBA Moto2 Itali, Romano Fenati. FOTO Agensi
AFP

MILAN: Pelumba Moto2 Itali Romano Fenati memohon maaf di atas sikapnya selepas dipecat oleh pasukannya Marinelli Snipers kerana menekan brek pesaingnya Stefano Manzi ketika perlumbaan di Grand Prix San Marino semalam.

Pelumba 22 tahun itu yang turut digantung dua perlumbaan oleh Grand Prix dan mungkin berdepan dakwaan jenayah memohon maaf di atas tindakannya yang memalukan itu.

Kedua-dua pelumba sedang memecut di litar Misano apabila Fenati yang menunggang jentera Kalex, menghampiri jentera Manzi dan menekan brek pesaingnya. Manzi hilang keseimbangan tetapi berjaya mengawal semula jentera Suter ditunggangnya.

Fenati bertindak demikian selepas percubaan Manzi memintasnya beberapa pusingan sebelum itu, dengan kedua-dua pelumba terbabas dari trek.

“Saya meminta maaf kepada dunia sukan. Pagi ini, dengan fikiran yang jelas, saya berharap yang ia adalah mimpi buruk,” kata Fenati dalam satu kenyataan.

“Saya melakukan tindakan memalukan, saya tidak bertindak seperti seorang lelaki! Seorang lelaki akan menamatkan perlumbaan dan akan mengambil tindakan mengikut cara yang betul. Saya sepatutnya tidak bertindak balas dengan provokasi itu.”

Pasukan Fenati mengesahkan yang mereka menamatkan kontraknya kerana “tindakan yang tiada semangat kesukanan, berbahaya dan merosakkan imej semua.’

“Dengan penuh kekesalan, kami ingin menekankan yang ia adalah tindakan tidak bertanggungjawab dan membahayakan pelumba lain dan tidak boleh dimaafkan,” kata pasukannya.

“Pelumba itu, bermula sekarang, tidak akan menyertai sebarang perlumbaan dengan pasukan Marinelli Snipers.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 September 2018 @ 12:00 AM