AFP

MILAN: Pelumba Moto2, Romano Fenati digantung dua perlumbaan selepas tindakannya menarik brek Stefano Manzi di Grand Prix Marino, semalam.

Mereka sedang bersaing dalam kelajuan tinggi di litar Misano ketika pelumba Kalex berusia 22 tahun itu menarik brek Manzi yang menyebabkan dia hilang keseimbangan seketika sebelum kembali menguasai jenteranya.

Fenati dilihat mengikuti rapat Manzi dan cuba untuk mengatasi rakan senegaranya itu dalam beberapa pusingan awal sebelum melakukan tindakan berbahaya itu.

Fenati - pelumba Moto2 yang mewakili pasukan Marinelli Snipers menggunakan jentera Kalex - hilang kelayakan selepas 23 pusingan kerana aksinya itu yang dianggap sebagai ‘tunggangan yang tidak bertanggungjawab’.

Panel pengurus FIM MotoGP kemudian mengumumkan bahawa Fenati akan terlepas dua perlumbaan berikutnya di Aragon, Sepanyol pada 23 September dan Thailand pada 7 Oktober kerana “sengaja menimbulkan bahaya kepada pelumba lain”.

“Pelumba mesti menunggang jentera mereka dengan cara yang bertanggungjawab yang tidak menimbulkan bahaya kepada pesaing atau pelumba lain,” kata FIM dalam satu kenyataan.

Ia bukan kali pertama pelumba dari Itali itu terbabit dalam kontroversi. 

Sebelum ini, dia terpaksa memohon maaf kerana menendang pelumba Finland, Niklas Ajo ketika sesi pemanas badan Moto3 di Grand Prix Argentina 2015.

Dia juga pernah dikenakan hukuman disiplin pada musim 2016 oleh Sky Racing Team VR46, yang dimiliki oleh pelumba Itali, Valentino Rossi.

Fenati, yang berada di tangga ke-19 dalam Moto2 dengan 14 mata boleh mengemukakan rayuan terhadap penggantungan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 6:09 PM