SERGIO RAMOS
SERGIO RAMOS
Reuters

LONDON: Kapten Sepanyol, Sergio Ramos dan rakan sepasukannya sekali lagi ingin ‘menggoda’ bola sepak dunia di bawah kendalian jurulatih baharu, Luis Enrique ketika bertemu England bagi aksi Liga Negara-Negara Eropah, awal pagi esok.

Sepanyol tampil dengan prestasi mengecewakan dalam tiga penampilan di pentas utama sejak mendominasi bola sepak dunia di antara tahun 2008 dan 2012 yang menyaksikan menjulang trofi Kejuaraan Eropah dan Piala Dunia.

Mereka mengharungi mimpi ngeri pada kempen Piala Dunia di Russia apabila disingkirkan tuan rumah, ketika jurulatihnya Julen Lopetegui dipecat sehari sebelum kejohanan bermula.

Begitupun, Ramos yang juga pertahanan Real Madrid berkata, semangat mereka sudah dipulihkan sejak kehadiran Enrique yang cemerlang mengemudi Barcelona sepanjang tiga musim di kelab berkenaan.

“Sejak beberapa tahun lalu, Sepanyol sudah turun beberapa tahap dan objektif kami adalah untuk mengembalikan apa yang menjadikan kami juara satu ketika dulu,” kata Ramos.

“Jurulatih dan pemain mempunyai cabaran yang hebat di depan kami dalam usaha untuk menang sekali lagi. Kami mempunyai banyak keinginan tetapi kami perlu membuktikannya. Kami mahu bola sepak jatuh cinta kepada kami sekali lagi.”

Ramos berkata, ia minggu yang sukar bersama jurulatih baharu menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan 4 Liga Negara-Negara Eropah yang turut menampilkan finalis Piala Dunia, Croatia.

“Jurulatih meminta kami semua untuk memberikan lebih perhatian pada minggu ini kerana segala-galanya adalah baru, jadi kami menghabiskan berhari-hari berbincang, dialog dan begitu banyak kerja,” kata Ramos.

Sementara itu, Ramos berkata dia tidak bimbang dengan layanan bakal dihadapi daripada penyokong England pada kunjungan pertamanya ke negara itu, sejak pergelutan yang menyebabkan bintang Liverpool, Mohamed Salah cedera pada aksi final Liga Juara-Juara musim lalu.

“Saya tidak pernah turun ke padang dengan niat untuk mencederakan pemain jadi niat saya adalah amat jelas,” katanya.

“Saya datang ke sini untuk menang bersama Sepanyol dan saya tidak kisah apa yang orang akan katakan atau apa yang akan saya terima.”

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 9:55 AM