MORATA (kiri) menjaringkan tiga gol daripada 23 aksi bersama Chelsea. FOTO/AFP
MORATA (kiri) menjaringkan tiga gol daripada 23 aksi bersama Chelsea. FOTO/AFP
AFP

MADRID: Alvaro Morata mengakui menimbang untuk meninggalkan Chelsea selepas mengharungi tahun ‘bencana’ yang menyebabkannya tersisih daripada Piala Dunia.

Morata digugurkan daripada skuad Sepanyol selepas hanya menjaringkan tiga gol daripada 23 perlawanan buat Chelsea pada pertengahan musim lalu.

“Benar, saya menimbang untuk kembali ke Sepanyol atau Itali tetapi kamu tidak boleh sentiasa mengelak realiti,” kata Morata. “Saya meninggalkan Sepanyol untuk berada di Piala Dunia dan saya tidak berjaya pergi.”

Selepas Piala Dunia berakhir, Luis Enrique mengambil alih tugas selaku pengendali Sepanyol daripada jurulatih sementara Fernando Hierro, manakala Maurizio Sarri tiba ke Chelsea selepas pemecatan Antonio Conte pada Julai lalu.

Enrique kemudian menyenaraikan semula Morata dalam skuadnya selepas bekas penyerang Real Madrid itu disenarai dalam kesebelasan utama bagi keempat-empat perlawanan Liga Perdana di bawah Sarri.

“Tahun lalu bermula baik tetapi penghujungnya adalah bencana,” kata Morata. “Saya tidak tahu di mana saya berada apabila saya bermain.”

Ditanya bagaimana perasaannya selepas disisihkan daripada skuad Piala Dunia, pemain berusia 25 tahun itu berkata: “Saya fikir bagaimana saya akan mengharungi musim panas ini tanpa pergi ke Piala Dunia?

“Ia adalah tempoh yang sukar tetapi saya bersedia untuk memberikan segala-galanya supaya saya dapat pergi ke edisi berikutnya. Ia masa yang sukar kerana saya menjangkakan untuk pergi,” katanya yang turut mengakui hilang kepercayaan terhadap Conte.

Selepas penyingkiran di peringkat 16 terbaik Piala Dunia 2018 kepada Russia, Sepanyol dijadual bertemu England di Wembley bagi kempen Liga Negara-Negara UEFA, Sabtu ini sebelum menanti Croatia pada Selasa di Elche.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 11:25 PM