THIEM meraikan kejayaannya mengalahkan Anderson untuk bertemu Nadal di suku akhir Terbuka AS. -Foto AFP
THIEM meraikan kejayaannya mengalahkan Anderson untuk bertemu Nadal di suku akhir Terbuka AS. -Foto AFP
AFP

NEW YORK: Juara bertahan, Rafael Nadal melangkah ke suku akhir tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) buat kali kelapan dan bakal berdepan Dominic Thiem, - seorang daripada tiga saingan yang pernah mengalahkannya pada 2018.

Pemain nombor satu dunia, Nadal mengenepikan cabaran Nikoloz Basilashvili - pemain pertama dari Georgia yang melangkah ke pusingan keempat di New York, dengan keputusan 6-3, 6-3, 6-7 (6/8), 6-4.

Menanti Nadal selepas ini ialah Thiem - yang dikalahkan pada pentas final Roland Garros pada Jun lalu untuk merangkul gelaran ke-11 Terbuka Perancis.

Thiem, yang mengalahkan Nadal di Madrid, menempah slot suku akhir buat pertama kali selepas mengalahkan finalis musim 2017, Kevin Anderson, 7-5, 6-2, 7-6 (7/2).

Pemain pilihan kesembilan dari Austria ini melangkah ke kelompok lapan terbaik buat pertama kali di luar kejohanan Terbuka Perancis, yang menyaksikan dia berjaya mara ke separuh akhir pada 2016 dan 2017.

“Mimpi menjadi kenyataan,” kata Thiem yang melangkah ke pusingan keempat tahun lalu tetapi tumbang kepada Juan Martin del Potro dari Argentina.

“Tahun lalu, saya begitu hampir,” katanya yang begitu terharu dengan sokongan peminat di Stadium Louis Armstrong.

“Tahun lalu, seluruh stadium penuh dengan penyokong Argentina. Kali ini, mereka di pihak saya, ia memang menakjubkan,”

Thiem menyifatkan kemenangan itu sebagai ‘aksi terbaik sepanjang kariernya’ selepas berjaya mematahkan banyak servis kencang Anderson.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 7:32 AM