PEMAIN West Ham Andriy Yarmolenko merampas bola daripada pemain  AFC Wimbledon. FOTO/AFP
PEMAIN West Ham Andriy Yarmolenko merampas bola daripada pemain AFC Wimbledon. FOTO/AFP
AFP

LONDON: West Ham United hampir tersungkur di pusingan kedua Piala Liga sebelum menewaskan AFC Wimbledon yang beraksi dengan 10 pemain apabila mempamerkan kebangkitan untuk merakam kemenangan 3-1, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi satu lagi kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Cardiff City apabila terkeluar dari saingan selepas tewas 1-3 ditangan kelab Liga Kejuaraan, Norwich City.

Dua lagi kelab EPL yang tersingkir ialah, Brighton & Hove Albion dan Huddersfield tetapi mereka tewas kepada seteru di liga elit masing-masing kepada Southampton (0-1) dan Stoke City (0-2).

West Ham yang dikendali Manuel Pellegrini  kalah dalam tiga perlawanan pertama Liga Perdana dan menyebabkannya terpaksa menghuni tangga tercorot liga.

Ia sekali gus mencetus spekulasi sama ada pengurus baharunya itu mungkin disingkirkan lebih awal sebelum akhir musim ini.  

Keadaan nampak semakin buruk bagi kelab dari Timur London berkenaan apabila Joe Piggott meletakkan Wimbledon di depam hasil tandukan kencang selepas perlawanan baru sahaja bermula dua minit.

Malah West Ham turut gagal memanfaatkan peluang biarpun pemain tuan rumah,  Rod McDonald diarah keluar pada minit ke-18. 

Pelawat terpaksa menunggu sehingga minit ke-63 sebelum pertahanan tengah  Issa Diop, menyamakan kedudukan, diikuti gol kedua dijaringkan oleh Angelo Ogbonna yang merentap semangat tuan rumah.

Gol kemenangan mereka disumbangkan Javier Hernandez, pada masa tambahan.

Cardiff pula terpaksa membayar harga yang mahal kerana tindakan merehatkan ramai pemainnya apabila tewas dengan dua gol dijaringkan Dennis Srbeny.

Satu lagi gol Norwich  dijaringkan Maximillian Aarons  manakala Cardiff memperoleh gol saguhati menerusi jaringan Bruno Manga.

Sementara itu, Charlie Austin pula muncul wira Southampton apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-88 di Brighton, manakala Leicester City membelasah Fleetwood Town 4-0 untuk mara.  

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 10:22 AM