SIVASANGARI tekad lakar kejutan di Sukan Asia. FOTO/AFP
SIVASANGARI tekad lakar kejutan di Sukan Asia. FOTO/AFP
Daripada Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain di Jakarta


PEMAIN skuasy remaja negara, S Sivasangari mahu melakukan kejutan di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 terutama dalam acara perseorangan.

Pemain berusia 19 tahun itu sedar tekanan memihak kepada skuad negara selepas pelbagai kejayaan di Sukan Asia sebelum ini.

"Pada Sukan Asia (skuasy) Malaysia sentiasa memberikan persembahan terbaik dan ia tentu saja memberikan tekanan buat kami.

"Sudah banyak kali kita menang di Sukan Asia dan kita perlu menghadapi tekanan itu," katanya.

Juara Remaja British 2018 itu menjelaskan sebelum ke temasya terbesar di Asia itu, dia sememangnya agak gementar tetapi kini menjadi teruja untuk beraksi.

Dia yang akan beraksi dalam dua acara berkata, dalam saingan individu dia sememangnya bukan pilihan namun skuad negara kuat dalam acara berpasukan.

Selain Sivasangari, acara berpasukan disertai Datuk Nicol David, Low Wee Wern dan Aifa Azman.

"Nicol dan rakan lain juga bagus dalam acara perseorangan tetapi saya berazam mahu mencipta kejutan," katanya.

Acara perseorangan wanita akan memulakan saingan esok.

Malaysia adalah negara paling cemerlang dalam acara skuasy dengan meraih sembilan emas sejak diperkenalkan pada 1998.

Pada edisi sebelum ini, Nicol muncul juara manakala Wee Wern meraih perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Ogos 2018 @ 5:19 PM