STEPHEN VAN HUIZEN
STEPHEN VAN HUIZEN
Azidan Nahar dan Azlan Muhammad Zain


JAKARTA: Pengendali skuad hoki lelaki negara, Stephen van Huizen mengambil langkah berwaspada terhadap ancaman jerebu yang kini melanda bandaraya ini susulan kebakaran di beberapa lokasi di republik itu.

Media di Indonesia hari ini melaporkan jerebu yang sering kali dikaitkan dengan pembakaran terbuka untuk tujuan pertanian mula menyebabkan pencemaran berlaku di ibu kota.

Jelas Van Huizen, dia tidak mahu mengambil risiko sehingga mampu menjejaskan kesihatan pemain menjelang misi penting memastikan tiket ke Olimpik 2020 itu.

“Saya baru tiba bersama pasukan, esok kita akan turun menjalani latihan di padang hoki Gelora Bung Karno (GBK) dan melihat sendiri secara lebih dekat,” kata Van Huizen.

Menurutnya, antara langkah awal dengan menggalakkan pemain minum air yang lebih daripada kebiasaan.

Skuad hoki negara diletakkan harapan mampu memenangi pingat emas di Jakarta sekali gus menempah tiket automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan tidak perlu mengharungi aksi kelayakan.

Malaysia kini berkedudukan ranking ke-12 dunia diundi bersama Pakistan, Bangladesh, Indonesia, Oman dan Thailand dalam Kumpulan B.

Kumpulan A pula diketuai India, Jepun, Korea Selatan, Sri Lanka dan Hong Kong dengan saingan bermula Ahad ini.

Pencapaian terbaik Malaysia ialah muncul naib juara pada edisi 2010 apabila tewas kepada Pakistan 2-0.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Ogos 2018 @ 7:54 PM