MOHD AZRAAI KHOR ABDULLAH
MOHD AZRAAI KHOR ABDULLAH
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Saingan Liga Malaysia (Liga-M) termasuk aksi Piala Malaysia musim ini yang boleh dilabel suram nyata mengejutkan pemerhati bola sepak tempatan.

Mana tidaknya, rekod kehadiran penyokong di setiap venue perlawanan jelas mengecewakan apabila mencatatkan jualan tiket cukup rendah berbanding sepuluh atau lima tahun sebelumnya.

Berkongsi senario mengecewakan itu, bekas pengendali Kedah yang menjulang Piala Malaysia sebanyak dua kali pada 2007-2008, Mohd Azraai Khor Abdullah berkata, beliau terkejut apabila melihat keadaan itu ketika turun ke Stadium Darul Aman, Alor Star baru-baru ini.  

“Saya pergi menyaksikan perlawanan Kedah lawan Terengganu (Liga Super) baru-baru ini. Hanya 1,100 orang saja penyokong dan ia boleh dianggap sebagai sangat mengecewakan.

“Malah, aksi Kedah dan Kelantan (Piala Malaysia) pun 4,000 saja. Apa sudah jadi dengan liga kita sebenarnya?,” kata Azraai, hari ini.

Berdasarkan statistik jumlah kehadiran penyokong sejak kempen Piala Malaysia bermula minggu lalu, kehadiran 'pemain ke-12' di stadium cukup mengecewakan apabila enam daripada lapan gelanggang bagi aksi pembukaan dihadiri kurang 3,000 penonton.

Jelas pengendali berusia 65 tahun itu, sekiranya 'virus' itu tidak diubati segera oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), ia boleh 'membunuh' beberapa pasukan kecil yang tidak mempunyai dana besar sekali gus memberi kesan negatif kepada pembangunan bola sepak tanah air.

“Piala Malaysia lain daripada Liga Super ataupun Piala FA. Trofi itu memiliki aura dan tradisi panjang yang perlu dipertahankan.

“Bagi saya, MFL dan persatuan negeri serta kelab perlu duduk semeja dan memikirkan kaedah terbaik bagi menarik atau mencetuskan semula keghairahan penyokong untuk datang ke stadium.

“Memang kalau diikutkan ia adalah tanggungjawab persatuan negeri dan kelab untuk menggerakkan apa juga bentuk promosi dan pemasaran tetapi ia juga perlu mendapat kerjasama pentadbir liga iaitu MFL.

“Saya percaya jika semuanya bekerjasama dan senada dalam mengejar misi dan visi, kita boleh meraih keuntungan besar daripada industri bola sepak seperti mana yang dilakukan di liga Eropah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Ogos 2018 @ 6:39 PM