ANDRE-Frank Anguissa. Foto REUTERS
ANDRE-Frank Anguissa. Foto REUTERS
Reuters

FULHAM memecahkan rekod pemindahan kelab dengan menandatangani pemain tengah Cameroon, Andre-Frank Anguissa dari Olympique de Marseille, hari ini.

Pemain berusia 22 tahun itu dilaporkan akhbar British menelan kos 22.3 juta pound (RM116.53 juta) dengan ikatan kontrak selama lima tahun.

“Andre mempunyai data profil yang menakjubkan, laporan penilaian yang menyinar dan reputasinya mengesahkan bakat yang ada di peringkat dunia,” kata Pengarah Operasi Bola Sepak Fulham, Tony Khan.

“Di sepanjang musim panas ini, kami menilai pemain elit yang kami percaya dapat memberikan kualiti diperlukan dalam usaha menyaingi persaingan hebat yang bakal dihadapi di Liga Perdana.

“Disebabkan itu, Andre menjadi antara seorang sasaran utama kami.”

Anguissa menyertai Marseille pada 2015, membantu pasukan berkenaan menamatkan saingan Ligue 1, Perancis di tangga keempat dan mara ke Liga Europa. 

“Saya gembira kerana dapat bersama Fulham. Ini adalah satu sudut baharu dalam karier saya dan antara satu yang memang saya inginkan,” kata Anguissa.

“Saya harap dapat memberikan kualiti yang saya miliki kepada projek baharu ini. Saya menyukai cabaran dan akan pastikan yang saya akan memberikan yang terbaik kepada pasukan, kelab dan penyokong.”

Untuk rekod, Anguissa membuat kemunculan pertama bersama Cameroon pada 2017 dan sudah beraksi sebanyak 11 kali bersama pasukan negaranya. -

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 8:48 AM