JAVIER HERNANDEZ
JAVIER HERNANDEZ

LONDON: West Ham United mengharungi perjuangan mengelak tersingkir dalam dua kempen terakhir Liga Perdana Inggeris namun penyerang Javier Hernandez mengimpikan penamat enam teratas musim ini.

Kelab London itu mendapatkan khidmat Manuel Pellegrini sebagai pengurus dan berbelanja hampir £100 juta (RM524 juta) untuk memperkukuhkan skuad ketika jendela perpindahan musim panas ini.

“Enam teratas, empat teratas adalah sasarannya, sebagus yang kami mampu. Saya seorang yang suka berangan-angan,” kata Hernandez kepada laman web kelab itu menjelang kunjungan ke Liverpool, Ahad ini.

“Saya sering menyasarkan setinggi yang saya boleh dan jika kami boleh membantu West Ham layak ke Liga Juara-Juara, kenapa tidak?”

Pemain kebangsaan Mexico yang dikenali sebagai Chicharito itu menyumbat hanya lapan gol dalam 28 penampilan liga musim lalu namun tidak sabar untuk bekerja di bawah kendalian Pellegrini.

“Beliau memberitahu saya akan memainkan peranan penting dalam pasukan ini, jadi secara tidak langsung beliau menyuntik keyakinan saya,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Ogos 2018 @ 7:20 PM