MOURINHO ketika memerhatikan aksi anak buahnya dalam perlawanan pramusim menentang Bayern Munich. Foto REUTERS
MOURINHO ketika memerhatikan aksi anak buahnya dalam perlawanan pramusim menentang Bayern Munich. Foto REUTERS
AFP

JOSE Mourinho mengakui skuad kendaliannya mungkin tidak dibarisi pemain terbaik apabila Manchester United mengharungi perlawanan pembuka tirai Liga Perdana Inggeris, awal pagi Sabtu ini.

Kempen pramusim United yang berlangsung dengan aksi ‘yo-yo’ berakhir dengan kekalahan 0-1 kepada kelab gergasi Jerman, Bayern Munich di Arena Allianz, awal pagi tadi.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan pemain Sepanyol, Javi Martinez pada babak kedua yang memberikan kemenangan buat juara Jerman itu susulan prestasi longlai United yang bertemu Leicester City di Old Trafford bagi aksi pertama liga.

“Minggu ini, kami perlu menyusun kembali pasukan untuk membolehkan kami kembali segar pada Jumaat kerana pada hari itu, Liga Perdana bermula. Kami bermain untuk meraih mata menggunakan pemain sedia ada,” kata Mourinho.

“Tiada masa untuk menangis. Pemain tidak akan berada di sini pada Jumaat jadi kami perlu mengharunginya dengan barisan yang terbaik dimiliki dan dengan mentaliti hebat.”

United memperoleh kembali khidmat dua tonggaknya, Marcus Rashford dan Victor Lindelof di Jerman tetapi mereka kehilangan Eric Bailly yang mengalami kecederaan susulan pertembungan dengan Serge Gnabry.

“Akhirnya, pramusim yang sukar sudah berakhir. Pemain sekali lagi cemerlang dan mereka tidak boleh lakukan yang lebih baik berbanding apa yang mereka sudah lakukan,” katanya.

Rashford menyarung jersi nombor 10 pada perlawanan itu, nombor yang biasanya dipakai oleh ‘aset‘ penting pasukan di Old Trafford seperti Wayne Rooney dan Zlatan Ibrahimovic.

“Dia mahukannya. Dia sentiasa mahukannya,” kata pengurus dari Portugal itu.

“Sudah tentu, dia menghormati Rooney dan kemudian Zlatan mahu memilikinya. Sudah tentu juga dia sentiasa dalam bayang-bayang, menunggu peluang dan kini tiada siapa yang menggunakannya.

“Ia sesuatu yang menakjubkan buatnya, jadi kami berikan jersi itu kepadanya,” kata Mourinho yang berharap untuk membawa sekurang-kurangnya seorang lagi pemain ke Old Trafford.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Ogos 2018 @ 10:26 AM