AKSI pemain Perak ketika menentang Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO Owee Ah Chun
AKSI pemain Perak ketika menentang Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, baru-baru ini. FOTO Owee Ah Chun
Azizan Hashim


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Hasnul Zulkarnain Abd Munaim yang baharu dilantik hari ini meminta peminat bola sepak negeri itu hadir beramai-ramai ke Stadium Perak untuk menyokong pasukan tuan rumah apabila turun bertemu Kedah, dalam aksi Liga Super, malam esok.

Hasnul membuat gesaan itu meskipun Perak berada pada kedudukan baik untuk menamatkan cabaran musim ini selaku naib juara liga.

“Perak sudah terlepas Piala FA. Jadi kedudukan selaku naib juara liga adalah pencapaian baik untuk tempoh terdekat ini.

“Selepas ini kita intai Piala Malaysia pula " katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi Negeri Perak, dipilih sebagai Presiden baharu Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) pada Kongres Tahunan kali ke-60 persatuan itu hari ini.

Menurutnya, pasukan The Bos Gaurus ketika ini menduduki kedudukan kedua liga dengan mengutip 35 mata dan baki dua perlawanan termasuk menentang Kedah esok sangat penting.

“Jika menang malam esok akan mengukuhkan lagi kedudukan Perak sebelum turun dalam perlawanan terakhir bertemu PKNS FC pada 29 Julai nanti.

“Kedudukan kedua ini adalah satu pencapaian yang cemerlang dan cabaran bagi saya dan barisan kepimpinan baharu adalah untuk mengekalkannya," katanya.

Sehubungan itu, Hasnul meminta kerjasama dan sokongan semua pihak, termasuk ahli gabungan serta penyokong untuk bersama-sama memastikan kesinambungan kecemerlangan bola sepak Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 6:28 PM