CEO AC Milan Marco Fassone (tengah) keluar daripada mahkamah CAS selepas mendapat pembatalan larangan daripada beraksi di pertandingan Eropah. -Foto AFP
CEO AC Milan Marco Fassone (tengah) keluar daripada mahkamah CAS selepas mendapat pembatalan larangan daripada beraksi di pertandingan Eropah. -Foto AFP
AFP

LAUSANNE (SWITZERLAND): Badan kehakiman untuk sukan hari ini membatalkan larangan AC Milan daripada beraksi di pertandingan Eropah dengan hujah betapa hukuman yang dikenakan sebelum ini ‘tidak lengkap’ selepas kelab itu didapati melanggar peraturan permainan membabitkan syarat perlesenan dan peraturan kewangan UEFA.

UEFA sebelum ini menggantung Milan daripada beraksi pada saingan Liga Europa musim depan selepas gagal memenuhi keperluan kewangan yang menyebabkan kelab itu tidak dibenarkan mendapatkan pembiayaan baharu untuk membiayai operasi harian.

Bagaimanapun, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menyatakan beberapa elemen penting tidak dinilai dengan tepat oleh oleh hakim UEFA.

“Keputusan untuk menggantung AC Milan daripada beraksi di saingan UEFA tidak lengkap,” kata CAS dalam satu kenyataan.

AC Milan berdepan masalah selama 15 bulan sejak ahli perniagaan China, Li Yonghong membeli kelab itu dari Silvio Berlusconi pada April 2017.

Pembelian kelab itu sebahagiannya dibiayai menerusi pinjaman bernilai 300 juta euro (RM1.4 bilion) dari dana milik Pengurusan Elliott.

Apabila Milan gagal membayar balik pada awal bulan Julai, Elliott mengambil alih kelab itu.

Yonghong menghabiskan lebih 200 juta euro untuk membeli pemain pada musim panas lalu dan dengan ditambah hutang kepada Elliott, ia menyebabkan campurtangan UEFA.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Julai 2018 @ 12:02 AM