S SIVASANGARI
S SIVASANGARI
Jumiati Rosly


LALUAN juara bertahan Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia edisi lalu, S Sivasangari untuk mempertahankan gelaran dijangka berliku apabila bakal menerima tentangan sengit seawal pusingan suku akhir pada saingan edisi tahun ini yang akan berlangsung 17 hingga 22 Julai ini di Pusat Skuasy Nasional, Bandar Sukan Kuala Lumpur.

Baru sahaja merangkul juara kebangsaan pada minggu lalu, Sivasangari yang diletakkan sebagai pemain pilihan ketiga kejohanan dijangka akan bertemu pemain pilihan kedua dari Hong Kong, Liu Tsz-Ling pada pusingan suku akhir nanti.

Dalam undian utama yang dikeluarkan hari ini, Sivasangari yang berumur 19 tahun tewas dalam kedua-dua pertemuan menentang Tsz-Ling yang berada di ranking 33 dunia namun pertemuan kali terakhir adalah pada tiga tahun lalu di Jelajah Skuasy Malaysia 2015 dengan keputusan 3-1.

Pemain wanita negara itu dijadual akan bertemu pemain pilihan utama dari Mesir, Omneya Abdel Kawy pada pusingan separuh akhir apabila bekas pemain nombor empat dunia itu membuat penampilan semula selepas lebih setahun berehat daripada pertandingan kompetitif akibat kecederaan.

Dalam kategori lelaki, Muhd Nafiizwan Adnan berpeluang untuk membalas dendam apabila bertemu rakan senegara, Ivan Yuen pada pusingan pertama yang akan berlangsung Khamis ini selepas Nafiizwan tewas kepada Ivan pada final Kejohanan Kebangsaan minggu lalu.

Sementara itu Low Wee Wern akan menyertai kejohanan Jelajah Persatuan Skuasy Profesional (PSA) itu yang pertama buatnya sejak berehat pada Oktober 2016 akibat kecederaan lutut.

Bekas pemain nombor lima dunia itu yang kini berada di ranking 253 dunia akan menyertai tujuh pemain negara yang lain, bakal bersaing dalam pusingan kelayakan yang akan bermula lebih awal pada Selasa ini.

“Ranking saya sangat rendah, saya berkemungkinan akan bertemu pemain pilihan utama jika melangkah ke pusingan pertama dalam undian utama nanti. Namun buat masa ini saya hanya mahu melepaskan diri ke undian utama dahulu dan selepas itu lihat bagaimana,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) di sini hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 9:28 PM