TEE JING YI
TEE JING YI
Fabian Peter

KUALA LUMPUR: Sambil mengucapkan terima kasih di atas segala sumbangan Tee Jing Yi, ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak mengakui keputusan pemain itu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi sedikit kesan.

“Kami menghormati pilihannya, kerana ia sangat sukar buat sesiapapun untuk membuat keputusan seperti itu.

“Kami mahu mengucapkan terima kasih kepadanya di atas segala sumbangan dalam skuad kebangsaan dan semoga dia maju jaya,” kata Rosman ketika dihubungi.

Rosman mengakui dia kehilangan seorang pemain yang bagus dan sekarang adalah masanya buat semua bergerak ke depan tatkala BAM memberi fokus pemain muda.

“Sudah tentu dia seorang pemain yang bagus tetapi kami harus mengorak ke depan dan menumpukan perhatian kepada pemain muda,” katanya.

Selepas ketiadaan Jing Yi, yang sudah 12 tahun bersama pasukan kebangsaan, Rosman ketika ini mempunyai 11 pemain di bawah bimbingannya.

Apa yang pasti, pemain mengambil keputusan sendiri untuk meninggalkan badan induk berkenaan, kerana gusar akan disingkirkan BAM, selepas Sukan Asia bulan depan.

Sementara itu, dalam saingan Terbuka Thailand di Bangkok, pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao beraksi baik di pusingan kelayakan.

Pada perlawanan pertama Jun Hao mengetepikan wakil tuan rumah Kantawat Leelavechabutr 21-16, 21-16 sebelum menundukkan pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito 22-20, 21-19.

Pemain berusia 18 tahun itu yang bergelut dengan masalah kecergasan sejak akhir-akhir ini, mahu segera menyesuaikan diri bermain di kejohanan besar sebelum ke Sukan Asia.

“Seperti anda semua tahu saya tidak berada dalam keadaan terbaik dan jurulatih, Datuk Misbun Sidek memberitahu saya supaya berehat sebelum kembali pulih. Selepas berehat sekejap saya sudah berasa lega sekarang.

“Bagaimanapun, saya masih belum dapat merasai suasana terbaik beraksi dalam kejohanan dan mahu menyelesaikan masalah berkenaan sebelum Sukan Asia bulan depan,” katanya yang akan berdepan pemain muda Thailand, Kantaphon Wangcharoen di pusingan pertama esok.

Turut mara ke pusingan pertama ialah beregu wanita, Lim Chiew Sien-Tan Sueh Jeou.

Di pusingan kelayakan, Chiew Sien-Sueh Jeou menumpaskan wakil tuan rumah, Manassiri Bowonwitthanakul-Thanapim Kaweenuntavong 21-10, 21-12 dan akan berdepan, Savitree Amitrapai-Pacharapun Chochuwong di pusingan pertama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Julai 2018 @ 6:15 PM