ANDERSSON (tengah) memberi kata semangat kepada pemainnya selepas Sweden tewas kepada England dalam aksi suku akhir Piala Dunia. -Foto EPA
ANDERSSON (tengah) memberi kata semangat kepada pemainnya selepas Sweden tewas kepada England dalam aksi suku akhir Piala Dunia. -Foto EPA
Agensi

MOSCOW: Setiap empat tahun akan berlangsungnya Piala Dunia dan setiap empat tahun rakyat Sweden akan bercakap mengenai 1994.

Tapi sekarang ini selepas 24 tahun, rakyat negara itu akhirnya sudah mempunyai cerita baru untuk dibicarakan dan diingati.

Ketika wisel penamat dibunyikan di Samara Sabtu lalu, semua pemain Sweden rebah di padang, tewas dan air mata mengalir di pipi masing-masing.

“Anda berada kecewa dan amat sedih, anda tidak mahu meninggalkan Russia,” kata Robin Olsen selepas tamat perlawanan.

Tidak lama kemudian Janne Andersson mengumpul semua pemain dan pegawai jurulatih di hadapan semua penyokong Sweden untuk bercakap.

Dengan tangan di atas bahu masing-masing, pemain mendengar jurulatih itu cuba mengingatkan kembali kejayaan luar biasa yang mereka capai dan sedikit demi sedikit kekecewaan itu terubat.

“Saya cukup berbangga dengan pasukan ini,” kata Olsen.

“Apa yang kita capai bersama. Daripada perlawanan pertama dalam aksi kelayakan menentang Belanda, aksi play-off bertemu Itali dan hinggalah sampai ke Piala Dunia.

“Ia sesuatu yang kita perlu lihat kembali dan merasa bangga. Apabila mereka kembali ke Sweden bermakna tamatlah sudah deman Piala Dunia,”.

Jersi kebangsaan Sweden sudah habis dijual di setiap kedai mahupun di dalam talian, jutaan menyaksikan perlawanan di hadapan TV, seluruh rakyat negara itu memberi sokongan tidak berbelah bagi.

PEMAIN Sweden kecewa selepas wisel penamat ditiupkan. -Foto Reuters
PEMAIN Sweden kecewa selepas wisel penamat ditiupkan. -Foto Reuters

“Saya rasa kami sudah melakar sejarah Sweden dengan apa yang dicapai hari ini,” kata Emil Forsberg.

Melihat reaksi negaranya, apa yang dirasainya itu adalah betul.

“Kami tidak mempunyai kelebihan apabila hadir ke Piala Dunia tapi kami mara hingga ke suku akhir. Kami perlu berasa bangga tapi pastinya anda tidak mahu ia berakhir,” kata Marcus Berg.

Ketua jurulatih, Janne Andersson berkata: “Kami berjaya membentuk satu pasukan yang dapat bekerjasama dengan baik, pemain bersatu dengan cara kami bermain bola sepak.

“Ia menjadi ketika turun berdepan dengan pasukan terbaik dunia beberapa kali. England bermain dengan baik. Tapi kami mempunyai cara kami bermain dan sikap pemain sangat luar biasa,” katanya.

Sweden meninggalkan pangkalan latihan mereka di Gelendzihk dan Russia semalam.

Namun apabila tiba Stockholm, mereka diraikan sebagai wira. Wira seperti yang berlaku pada 1994 dan perkara itu akan dibicarakan untuk beberapa tahun akan datang.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 11:05 AM