PEMAIN Brazil, Philippe Coutinho ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Galeao, Rio de Janeiro. Foto/AFP
PEMAIN Brazil, Philippe Coutinho ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Galeao, Rio de Janeiro. Foto/AFP
Reuters

SKUAD kebangsaan Brazil yang tersingkir di pusingan suku akhir Piala Dunia disambut peminat mereka sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Rio de Janeiro, hari ini.

Brazil yang juga juara lima kali tewas 1-2 kepada Belgium pada Sabtu lalu di Kazan, Russia.

Penyokong bersorak dan meraikan pemain ketika mereka turun dari pesawat dan berada di lapangan terbang.

Beberapa pemain termasuk Casemiro dan Philippe Coutinho berhenti untuk bermesra dan bergambar bersama sebahagian penyokong.

Neymar yang dianggap sebagai pemain paling berbakat dalam skuad Brazil tidak kelihatan di sekitar kawasan itu.

Jurulatih Brazil, Tite yang diminta untuk kekal menguruskan pasukan itu walaupun selepas kegagalan di Piala Dunia mengucapkan terima kasih kepada peminat atas sambutan hangat yang diberikan.

“Saya ingin membalas kehangatan ini dengan mengucapkan terima kasih dari hati saya,” kata jurulatih itu yang hanya mengulas ringkas selepas tiba di lapangan terbang.

Tite mengakui, dia amat kecewa selepas mereka tersingkir pada Sabtu lalu.

Kekalahan itu adalah yang pertama dialami Tite dalam kejohanan kompetitif sejak dia mengambil alih Brazil pada pertengahan 2016 dan hanya kekalahan kedua secara keseluruhan.

Ia juga kali pertama pasukannya melepaskan dua gol dalam satu perlawanan selepas hanya dibolosi enam gol dalam 25 perlawanan terakhir mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 7:39 AM