RAPHAEL VARANE
RAPHAEL VARANE
Agensi

MOSCOW: Kylian Mbappe dianggap bintang Perancis setakat ini namun Raphael Varane turut mendapat pujian media negaranya kerana daya kepimpinannya sepanjang kempen Piala Dunia 2018.

Pemain pertahanan Real Madrid itu tampil buat kali pertama di kejohanan utama pada usia 21 tahun dan kemudian terlepas aksi Kejohanan Eropah di laman sendiri pada 2016.

Piala Dunia kali ini adalah pentas terbaiknya untuk menyinar dan akhbar Perancis Le Monde melabelnya sebagai ‘Menteri Pertahanan’.

Bagaimanapun nama panggilannya di bilik persalinan Les Blues adalah ‘Mr Clean’ kerana caranya merampas bola dan kebolehannya membuat keputusan mengikut pertimbangan sendiri.

Varane adalah orang kanan kepada kapten Hugo Lloris dan dia berani untuk bersuara di dalam bilik persalinan yang dipenuhi pemain terkenal.

“Pemain lain mendengar apa yang dikatakan oleh Varane,” kata L’Equipe kepada pemain Real Madrid itu.

“Pemain muda dan pemain tengah berani itu adalah suara untuk pasukan kebangsaan Perancis.

“Menurut media Perancis, Varane menjadi ketua daripada aspek taktik, tidak seperti Paul Pogba yang lebih memberi semangat kepada rakan sepasukan dari segi emosi.

Dengan memiliki empat kejuaraan Liga Juara-Juara pada usia 25 tahun, pemain pertahanan berbakat ini berazam untuk membawa kejayaan Eropah itu ke peringkat antarabangsa bersama skuad kebangsaan Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Julai 2018 @ 3:55 PM