PEMAIN Senegal meraikan kemenangan pertama selepas berjaya menewaskan Poland 2-1 pada aksi kumpulan H, malam tadi. FOTO EPA-EFE
PEMAIN Senegal meraikan kemenangan pertama selepas berjaya menewaskan Poland 2-1 pada aksi kumpulan H, malam tadi. FOTO EPA-EFE
Reuters

SENEGAL menjadi pasukan Afrika pertama merekodkan kemenangan pada Piala Dunia 2018 apabila menewaskan Poland 2-1 dalam aksi sulung Kumpulan H, sebentar tadi.

Pasukan yang popular ketika menewaskan Perancis pada aksi pertama Piala Dunia 2002 itu mendahului perlawanan menerusi jaringan ke gawang sendiri pemain pertahanan Poland, Thiago Cionek pada minit ke-37.

Senegal menambah gol kedua menerusi Mbaye Niang yang memanfaatkan kesilapan pemain tengah Poland, Grzegorz Krychowiak yang melakukan hantaran ke belakang ketika penjaga gol pasukan itu, Wojciech Szczesny gagal mengawal keadaan apabila dia juga sudah keluar daripada kotak penalti pada minit ke-60.

Bagaimanapun, Krychowiak menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol buat Poland bagi merapatkan jurang pada mint ke-86 namun jaringan berkenaan dianggap sudah terlambat bagi menghalang tiga mata diraih Senegal.

Keputusan itu menyaksikan Senegal kini berkongsi mata dengan Jepun dalam Kumpulan H. Jepun turut melakar kemenangan dalam perlawanan mereka apabila menewaskan Colombia 2-1.

Senegal akan bertemu Jepun pada Ahad manakala Poland akan menentang Colombia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 2:05 AM