PENJAGA gol Argentina, Sergio Romero mengalami kecederaan lutut kanan ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
PENJAGA gol Argentina, Sergio Romero mengalami kecederaan lutut kanan ketika menjalani latihan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
AFP

PERSIAPAN Argentina ke Piala Dunia 2018 menerima tamparan apabila penjaga gol, Sergio Romero terpaksa diketepikan daripada kejohanan di Russia itu susulan kecederaan lutut, kata Persatuan Bolasepak Argentina (AFA), hari ini.

Penjaga gol Manchester United itu mengalami kecederaan di lutut kanan ketika menjalani sesi latihan di sini, semalam.

“Romero akan dikeluarkan daripada senarai 23 pemain yang akan mengambil bahagian dalam Piala Dunia 2018 di Russia,” kata AFA dalam satu kenyataan.

Romero, 31, adalah salah seorang penjaga gol paling banyak beraksi bersama skuad kebangsaan Argentina dengan 83 penampilan dan mewakili negaranya pada Piala Dunia 2010 dan 2014.

AFA berkata Romero tidak boleh membengkokkan lututnya dan sedang dinilai untuk menjalani pembedahan. 

Penggantinya akan diumumkan dalam tempoh beberapa hari lagi, kata kenyataan berkenaan.

Selain mempunyai pengalaman luas di Piala Dunia, Romero juga mewakili Argentina dalam tiga penampilan Copa Americas dan juga berada dalam skuad yang memenangi pingat emas Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China.

Argentina yang juga finalis di Piala Dunia 2014 Brazil membuka kempen di Russia menentang Iceland pada 17 Jun ini dan berada dalam Kumpulan D yang turut diisi Croatia dan Nigeria.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 9:19 AM