CHELSEA ketika perlawanan menentang Huddersfield Town. FOTO AFP
CHELSEA ketika perlawanan menentang Huddersfield Town. FOTO AFP
AFP

CHELSEA didakwa oleh Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris selepas bantahan keras mereka terhadap pengadil Lee Mason ketika seri 1-1 menentang Huddersfield Town.

Mason mencetus kemarahan pemain apabila ketika kedudukan 0-0, beliau menghadiahkan mereka sepakan sudut kemudian meniupkan wisel penamat babak pertama sebelum sepakan itu diambil.

Cesar Azpilicueta, Cesc Fabregas dan Antonio Rudiger mengetuai bantahan itu dengan Rudiger terpaksa ditarik keluar penolong jurulatih Carlo Cudicini, yang turut menghalang bos Blues, Antonio Conte daripada menyerang Mason.

“Chelsea dituduh gagal memastikan pemain atau pegawai mereka berkelakuan baik,” menurut satu kenyataan FA semalam.

“Insiden itu berlaku ketika rehat babak pertama perlawanan semalam menentang Huddersfield Town. Chelsea mempunyai tempoh hingga 6 petang Selasa ini untuk membalas pertuduhan itu.”

Anak buah Conte dikecewakan dengan taktik melengah-lengahkan masa oleh Huddersfield sepanjang perlawanan yang menyaksikan harapan mereka layak ke Liga Juara-Juara pudar.

Pasukan tangga kelima Chelsea, yang berkunjung ke Newcastle bagi perlawanan terakhir Liga Perdana mereka Ahad ini, dua mata di belakang pasukan tangga keempat Liverpool dan terpaksa beraksi dalam Liga Europa jika Reds mengelak kekalahan menentang Brighton hujung minggu ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 8:14 AM