CONTE kecewa dengan prestasi anak buah. FOTO/AFP
CONTE kecewa dengan prestasi anak buah. FOTO/AFP
Reuters

LONDON: Antonio Conte kecewa dengan persembahan Chelsea musim ini dan mengakui skuad kendaliannya menggunakan ‘cara bodoh’ iaitu menggugurkan mata selepas mendominasi permainan.

Chelsea ketika ini menghuni tangga kelima Liga Perdana Inggeris menjelang perlawanan dengan Huddersfield Town, awal pagi Khamis dan mengharapkan keputusan lain memihak mereka jika mahu menamatkan saingan di tangga empat terbaik.

“Sudah tentu ada sedikit kekecewaan,” kata Conte.

“Saya fikir pada musim ini kami melepaskan mata dengan cara yang bodoh, terutama pada perlawanan yang kami mendominasi dan mencipta banyak peluang tetapi tidak mampu untuk menjaringkan banyak gol.

Chelsea boleh menamatkan kempen musim ini dengan berkongsi mata dengan Liverpool yang menghuni tangga ketiga dan bermain lebih satu perlawanan.

Tetapi mereka memiliki perbezaan jumlah jaringan gol yang ketara berbanding kelab dari Merseyside itu.

Malah gagal untuk menewaskan Huddersfield atau Newcastle United pada Ahad hampir pasti menamatkan impian kelab dari London itu untuk mendapat tiket ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Satu-satunya cara adalah untuk memberikan sedikit tekanan (untuk menang),” kata Conte. “Kami akan melakukan tugas kami dengan sebaik yang mungkin dalam usaha memberi tekanan kepada Liverpool dan Tottenham.

“Tetapi situasi tidak memihak kami, Liverpool boleh menewaskan Brighton untuk beraksi di Liga Juara-Juara, perkara yang sama terhadap Tottenham yang memiliki dua perlawanan di gelanggang sendiri.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 12:30 AM